Sunday, October 26, 2008

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM : MALAYSIA NEGARA ISLAM-ADAKAH SYARIAH PERLU DI DALAM NEGARA ISLAM

Sejak kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah di Turki yang telah memansuhkan sistem khalifah pada tahun 1924, gerakan islah untuk mengembalikan semula peranan syariah di dalam sistem pemerintahan Islam telah digerakkan oleh pelbagai gerakan Islam yang berorientasi intelektual dan politik. Dari segi pemikiran, beberapa tokoh mujaddid seperti Rashid Rida, Hassan al-Banna, Abul ’Ala al-Maududi, Yusuf al-Qardhawi dan lain-lain telah menghasilkan beberapa karya penting untuk mengajak umat berjuang mendaulatkan syariah di dalam kehidupan umat dan negara. Penjajah Barat dengan dukungan sebahagian besar pimpinan umat Islam yang telah menerima sekularisme sebagai ideologi negara telah berjaya melaksanakan undang-undang sivil bagi menggantikan undang-undang syariah yang telah dipakai di dalam semua bidang kehidupan manusia sejak beberapa kurun lalu. Akibatnya syariah terpinggir dalam arus perdana negara. Undang-undang syariah hanya diguna pakai di dalam urusan peribadatan dan kekeluargaan.

Hakikatnya yang dikatakan ’negara Islam’ itu ialah sebuah negara yang benar-benar iltizam untuk melaksanakan syariah Islam secara total. Al-Quran dan al-Sunnah hendaklah menjadi sumber perundangan Islam yang tertinggi di dalam perlembagaan, badan, badan eksekutif, perundangan dan kehakiman. Selain dari al-Quran, umat Islam juga hendaklah memahami konsep Sunnah dengan mendalam. Ini adalah penting kerana hukuman-hukuman yang berlaku pada zaman junjungan Muhammad s.a.w telah diguna pakai di dalam sistem pemerintahan Islam pada masa itu. Syariah Allah S.W.T itu sentiasa adil kepada semua orang. Keadilan Allah S.W.T jangan dipersoal oleh sesiapa. Undang-undang Allah S.W.T dari segi kebenaran dan keberkesanannya jika dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia jelas terbukti dalam sejarah peradaban Islam. Walaupun perlaksanaan syariah di beberapa buah negara Islam seperti Arab Saudi, Sudan, Iran dan Pakistan terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan dari segi perlaksanaan, namun kesan-kesan positif dalam kehidupan rakyat di negara-negara tersebut tidak dapat dinafikan.

Kita tidak menafikan memang ada beberapa masalah yang menghalang perlaksanaan syariah di Malaysia saat ini. Perlaksanaan masih perlu mengambil masa yan panjang. Justeru, kita perlu melakukan proses pendidikan kepada rakyat termasuk masyarakat bukan Islam. Yang jelas rata-rata salah faham terhadap syariah masih wujud di dalam masyarakat.

Syariah adalah sebahagian dari doktrin Islam yang penting. Syariah ditanzilkan oleh Allah S.W.T untuk kesejahteraan hidup manusia. Justeru, kita mesti menjadikannya sebagai satu ``taklif syarii”. Iman kita tidak sempurna jika kita ragu apalagi menolak syariah. Hari ini undang-undang ciptaan manusia tidak dapat menjamin kelestarian hidup manusia. Terlalu banyak kebejatan moral dan kedurjanaan jenayah berlaku. Fenomena tersebut sedang meningkat di negara yang masih mengagungkan undang-undang sivil yang diimport dari Inggeris.
Masyarakat Malaysia perlu diselamatkan demi kesejahteraan hidup pada masa mendatang sejajar dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Perlaksanaan syariah memerlukan beberapa ramuan, antaranya, keikhlasan niat, keilmuan yang meluas, iltizam pimpinan di semua peringkat masyarakat terutama sekali para umara’, para ulama’ para hakim dan peguam, cendekiawan, NGO-NGO Islam dan lain-lain pihak yang berkewajipan.

No comments: