Monday, October 27, 2008

MY BLOG'S CONCEPT

Assalamualaikum W.B.T...

Syukur ke hadrat Ilahi, walaupun dalam kekangan masa, akhirnya ana berjaya juga persembahkan hasil blog yang tidak seberapa ini. Syukran jazilan kathiran diucapkan kepada kepada sahabat-sahabat seperjuangan kerana banyak membantu ana dalam usaha menyiapkan blog ini. Tidak dilupakan juga ucapan ribuan terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Zilkuple bin Abd Ghani kerana memberi peluang pada ana membina blog sendiri sebagai salah satu mekanisme dalam berdakwah melalui alam maya.


Blog ana masih bernafas baru.. Mungkin agak banyak kelemahan dan kekurangan yang boleh dikritik. Ana mengkonsepkan blog ini sebagai 'MUSLIMAH SAYAP KIRI PERJUANGAN' kerana memahami peranan muslimah abad ini serta faktor-faktor kejayaan insan bernama lelaki atau muslim, pasti terselit dorongan serta sokongan dari wanita atau muslimah dalam sama-sama membantu memperjuangkan kebenaran serta meninggikan kalimah Allah di dunia ini.


SALAM IKHLAS PENYERI UKHUWWAH..

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM : DASAR PEMILIHAN CALON ISTERI


Islam adalah satunya sistem hidup Ilahi yang terakhir yang diredhai Allah S.W.T untuk membawa pengislahan yang menyeluruh kepada manusia mencakupi setiap demensi kehidupan. Bermula dari urusan aqidah, ibadah kekeluargaan hinggalah kepada urusan sosial, politik, ekonomi, ketenteraan dan hubungan antara bangsa.

Kesejahteraan dan kekuatan satu-satu umat adalah bergantung kepada kesejahteraan dan kekuatan unit-unit keluarga yang membentuk umat tersebut. Seperti sebuah binaan, kekuatan dan keteguhan adalah bergantung kepada kekukuhan batu-batunya. Bertolak dari hakikat inilah Islam mementingkan kehidupan berkeluarga. Beberapa panduan penting telah digariskan oleh Islam dalam hal ini bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Memandangkan pokok pangkal bagi sesebuah keluarga adalah perkahwinan, maka ianya tidak mendapat tempat yang tersendiri di sisi Islam. Ikatan perkahwinan dan akad nikah adalah satu ikatan amat suci yang disebut dalam Al-Quran sebagai iaitu perjanjian yang amat kukuh.



Faktor yang menentukan kebahagiaan atau kecelakaan sesebuah rumah tangga itu bermula di peringkat yang lebih awal iaitu peringkat membuat penentuan dan pemilihan, bukannya bermula sesudah memasuki gerbang rumah tangga.

Asas pemikiran adalah penting dalam menentukan kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Sekiranya neraca atau ukuran yang digunakan dalam memilih pasangan hidup itu tidak betul, maka kebahagiaan itu agak sukar dicapai.

Menurut pandangan Islam perkara yang utama yang harus dijadikan neraca ukuran oleh bakal suami isteri dalam memilih pasangan hidup ialah agama dan akhlak yang luhur, bukan pangkat, kecantikan, harta benda dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda:
تنكح المرأة لأربع :لما لها ولحسبها ولجما عها ولدينها ،فاظفر بذات الدين تربت يداك
“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana tarafnya, keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia.”

Sekalipun hadis ini pada zahirnya ditujukan pada kaum lelaki akan tetapi pengajarannya juga melibatkan kaum wanita. Islam sebagai agama yang benar telah meletakkan asas yang kukuh bagi pembentukkan keluarga sesuai dengan tujuannya yang penting yang hendak dilahirkan dalam kehidupan umat islam. Sebagaimana Firman Allah;

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia .”
INILAH MATLAMATNYA………

Ibarat orang yang hendak mendirikan rumah, mereka dapat memilih tempat yang sesuai, bahan yang kuat agar bangunan rumah yang didirikan itu keamanan, kekuatan dan keutuhannya. Oleh yang demikian, untuk membangun sesebuah rumahtangga ianya memerlukan faktor-faktor yang terpilih di samping berhati-hati dan berwaspada.

Pemerhatian dan penelitian yang hendak dilakukan hendaklah secara mendalam dalam memilih teman hidup adalah penting untuk mencapai kebahagiaan individu, keseluruhan masyarakat dan kemajuan umat banyak bergantung kepada kesihatan dan keutuhan institusi keluarga.

Atas sebab inilah Mustafa Mahsyur menyarankan kepada saudara muslim dan muslimah agar mecari isteri dan suami yang soleh dan solehah sebagai kongsi hidup. Memilih lelaki yang soleh aqidahnya dan bertaqwa kepada Allah SWT, memahami tugas dan risalah dalam hidupnya. Seorang isteri yang taat, penolong atas jalan yang dilaluinya sentiasa memberi perangsang dan mengingat tatkala lupa Allah SWT dan lainnya.


Suami hendaklah memilih isteri yang beragama. Isteri yang beragama akan menjaga kerahsiaan dalam rumah tangga.




Membangunkan rumahtangga muslim yang sejati adalah merupakan cita-cita kaum muslimin.Atas sebab inilah Islam telah meletakkan kaedah-kaedah yang tetap dan prinsip-prinsip yang betul dari peringkat awal-awal lagi. Kaedah dan prinsip ini apabila diikuti dan ditaati mereka pasti akan dapat hidup dengan tenang ,tenteram dan bahagia.


Sabda Rasulullah:
عليك بذات الدين ترتب يداك
“Kahwinlah dengan wanita yang baik penghayatan agamanya, engkau akan memperoleh ketenteraman .”


Contoh perkahwinan dengan Siti khadijah r,a dalam usia yang jauh berbeza akan tetapi kehidupan mereka penuh dengan kebahagiaan.

Sabdanya lagi:
لا تزوج النساء لحسنهن ان يردين ولا تزوجوهن لما موالهن ان تطخيهن تزوجوهن على الدين ولأمة سوداء خرماء ذات الدين افضل.

“Janganlah kamu kahwin dengan seorang wanita kerana kecantikannya kerana kecantikannya akan memusnahkan dirinya. Janganlah kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kekayaannya, kerana kekayaannya akan membuatkannya derhaka. Kahwinlah dengan wanita itu kerana agamanya. Sesungguhnya seorang wanita suruhan yang baik penghayatan agamanya lebih baik dikahwini, sekalipun ia berkulit hitam dan cupingnya berlubang besar.”

Lelaki muslim dilarang berkahwin dengan wanita mushrik, kafir atau bukan pemeluk agama samawi.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah{Ayat221}

“Janganlah kamu berkahwin dengan wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman lebih baik daripada wanita musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.”

Ini memandangkan kesatuan, keyakinan dan kesamaan aqidah merupakan satu-satunya jaminan bagi terciptanya kerukunan, kesetiaan, keserasian, ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan suami isteri.

Allah SWT berfirman dalam Al-Baqarah{Ayat 221} “Mereka mengajak ke neraka , sedang Allah mengajak ke syurga”.

Berkahwin dengan wanita bukan keluarga.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ {Ayat 22}

“Janganlah kamu mengahwini dengan wanita yang telahb diperisterikan oleh bapamu., kecuali apa yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan merpakan satu jalan yang buruk.”

Sabda Rasulullah:
لا تنكحوا القرابة فان الوالد يخلق ضاوياء
“Janganlah berkahwin dengan adik-beradik sendiri, kerana akan melahirkan anak-anak yang berbadan kurus, lemah dan kurang mampu berfikir”.


Mencari isteri yang subur tidak mandul. Islam menganjurkan supaya mencari calon isteri yang subur, tidak berpenyakit keturunan yang mencegah kehamilan dan kelahiran anak. Sebaliknya mempunyai persiapan untuk menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya. Pada kebiasaannya persiapan itu dapat diketahui dengan memperhatikan keadaan ibu gadis yang berkenaan sebagai ukuran yang pertama.

Firman Allah,“Harta dan anak-anak adalah hiasan kehidupan dunia”

Sabda Rasulullah:
تزوجوا الولود الدود فاني مكاثر بكم الأمم

“Hendaklah kamu berkahwin dengan wanita yang subur dan tidak mandul, kerana pada hari Qiamat kelak aku akan berbangga melihat kamu sebagai umat yang paling banyak jumlahnya.”

Lebih mengutamakan yang gadis. Sabda Rasulullah:
عليكم بلأبكار فانهن اغدب افواها ،وانتق ارحاما واقل حبا وارض باليسير من العمل.

“Hendaklah kamu berkahwin dengan gadis, kerana mereka lebih sejuk mulutnya, (lebih tulus dan ikhlas) lebih mantap rahimnya, lebih sedikit kerenahnya, dan merestui dengan kerja yang ringan dan mudah.”

Demikianlah ketika Rasulullah mendengar Jabir r.a berkahwin dengan janda, ketika itu baginda bertanya, “apakah tidak ada gadis yang engkau sukai dan menyukaimu ?”

Tidak dapat dinafikan setiap sesuatu mempunyai sandaran, dan sandaran keluarga muslim ialah taqwa. Hanya taqwa yang membuatkan semua urusan menjadi mudah, mendorong ke arah kebajikan serta membetulkan pergerakan anggota.

Seorang isteri yang bertaqwa pasti mengetahui tanggungjawabnya kepada Allah SWT, suaminya dan dirinya sendiri, menguruskan kecantikan dirinya tanpa berlebihan, mentaati suaminya dalam segala hal yang bukan maksiat, mengingati pesanan suaminya diwaktu sunyi dan terang dan menjaga hartanya setiap waktu.

Benarlah sabda Rasulullah ,
خير النساء من تركاذا ابصرت،وتطيعك اذا امرت وتحفظ غيبك في نفسها وما لك.

“Isteri yang baik ialah jika dilihat ia menyenangkan hatimu, jika disuruh ia taat kepadamu, dan pada saat engkau sedang merantau ia menjaga dirinya dan menjaga hartamu.”

ISU POLITIK ISLAM : YA ALLAH! KAMI RINDUKAN POLITIK DI BAWAH NAUNGAN-MU


Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”. Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain. Sabda Nabi SAW: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari). Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu. Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT. Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan.

Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.


Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi. Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah. Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. Tanggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat. Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan. Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’. Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini. Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa. Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya. Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu!

ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT : PUNCA SEGALA MASALAH MAHASISWA



Auku itu punca segala masalah.. kan? Terlebih dahulu saya meminta ampun dan maaf sekiranya persoalan yang saya lontarkan agak terbuka dan juga tidak berlapis.Bagaimana ya untuk afdhal menjadi rasional dengan isu tersebut sedangkan ia adalah satu hakikat yang anda perlu terima? Jangan katakan kita pergi terlalu jauh untuk penghapusan akta universiti dan kolekj universiti(AUKU)? Kerana ia sememangnya tembok pertama yang perlu kita runtuhkan dalam mengembalikan kebebasan mahasiswa. Contoh pertama, kita bercakap mengenai suasana selesa yang di hadapi mahasiswa dan juga graduan akibat pembangunan ekonomi dan kemajuan pesat negara, ini satu kesilapan kerana puncanya, kita mahasiswa lebih suka melepak di mid valley, dan KLCC ,yang paling uptodate The PAVILION kerana ia kononnya lambang pembangunan pesat negara, sedangkan mereka sepatutnya pergi melihat bagaimana kehidupan masyarakat bawahan di sepanjang jalan Kelang Lama. Kita dan kawan-kawan lebih merasa senang membayar rm5 sejam untuk menyewa kereta untuk membawa teman-teman dan paling tidak teman wanita keluar makan di Sri Hartamas, Bangsar, daripada membeli majalah ilmiah di pasaran sebagai bahan bacaan tambahan.Kenapa ya saya dan kawan melakukan ini semua? bukan kah ia pengaruh dari AUKU yang menutup ruang untuk golongan mahasiswa berfikir dan bertindak lebih meluas lagi?


Apabila wujudnya kumpulan tertentu menganjurkan program yang mahu mendekatkan mahasiswa dengan kehidupan masyarakat bawahan hari ini, mereka sukar untuk meluluskannya, kerana ia di anggap program luar universiti.Mengapa ia ditolak? Agenda berkaitan jumlah graduan yang mengangur yang semakin hari semakin ramai juga berpunca dari "hantu raya" yang sama.Graduan hari ini ramai yang gagal mendapatkan pekerjaan kerana kita tidak berfikir sebagai seorang graduan bagaimana kita berusaha unutuk mendapatkan pekerjaan.Ia juga berpunca dari Auku yang membelengu pemikiran kita.Sebagai contoh,graduan dalam bidang pendidikan hanya akan memikirkan tawarannya di terima atau tidak oleh pihak KPLi untuk menjadi guru semata-mata.Kenapa tidak kita persiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan yang lain? Dengan berfikir secara terbuka bahawa di malaysia ini terdapat pelbagai bidang kerja untuk di ceburi dan di terokai sebagai cabaran.Pelbagai bidang masalah yang memerlukan cerdik pandai,pelbagai pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan yang memerlukan pemikir,penggerak dan juga penyokong sebagai nafas baru . Oleh kerana sejak meja universiti lagi kita semua sudah di belenggu untuk berfikir dengan satu arah,maka apabila tamat pengajian,kita hanya mahu berfikir untuk mendapat pekerjaan "yang sesuai dengan kelulusan" -membeli kereta kancil dan seterusnya meminang teman wanita kita untuk hidup aman damai tanpa memikirkan nasib masyarakat kita. Apa rasionalnya kita membicarakan sudut pidato umum di Hyde Park dengan situasi mahasiswa di malaysia? Apakah dengan pidato sahaja umum sahaja pandangan kita dapat di ketengah kan? Hanya itukah cara untuk kita bertindak? Membantu masyarakat? atau memberi sumbangan bersesuaian dengan "kelulusan anda"? Kesemua ini akan membawa kita menyalahkan auku semula yang menjadi punca kepada semua masalah tersebut.Kerajaan memang tepat mengatakan mahasiswa hilang kreativiti dan malas berfikir,tapi itu adalah salah satu kejayaan auku..ia bukan bermaksud malas berfikir dan hilang kreativiti secara total tetapi kita semua hilang kreativiti bagaimana untuk bertindak selaku mahasiswa di sebalik konkongan Auku,dan anda malas berfikir bagaimanakah cara untuk "beraksi" selaku mahasiswa di sebalik pemantauan HEP.


ISU EKONOMI ISLAM : EKONOMI SEMASA UMAT ISLAM


Ekonomi adalah suatu aspek yang penting dalam menjana sesuatu bangsa atau negara. Jika dipandang dari perspektif Islam sendiri, ekonomi adalah salah suatu perkara yang amat penting dan ia boleh datang dari pelbagai sumber. Akan tetapi, umat Islam pada zaman sekarang ini amat lemah sekali dari sudut ekonominya. Ini berlaku kerana umat Islam sendiri tidak mengambil berat tentang hal ini. Jika diimbas kembali ekonomi umat Islam pada zaman kegemilangannya, ekonomi ketika itu adalah amat kukuh dan teguh. Pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w dan Khulafa' Ar-Rashideen, ekonomi pada zaman itu adalah amat kukuh sehinggakan wang perbendaharaan negara iaitu Baitulmal adalah amat banyak sehingga dikatakan wang Baitulmal itu boleh menampung dan menyara setiap rakyatnya. Sumber kewangan Baitulmal adalah daripada kutipan Zakat dan Jizyah (wang yang dibayar oleh orang kafir kepada kerajaan Islam kerana tinggal didalam negara Islam dan mendapat perlindungan daripada kerajaan Islam).
Ini berlainan dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang. Walaupun Malaysia tidak mengamalkan sistem pemerintahan Islam dan menggunakan sistem sekular, tetapi rata-rata pemimpin adalah dikalangan orang Islam sendiri. Rakyat dibebani dengan berbagai-bagai jenis cukai contohnya cukai pintu, cukai tanah, cukai jalan dan bermacam-macam lagi bahkan hendak menggunakan tandas awam pun dikehendaki membayar RM0.20 sen. Ini ditambah dengan wujudnya barang yang dikenakan cukai yang melampau contohnya kenderaan import, dikenakan cukai sehingga 200%. Selain itu, sedar atau tidak setiap barang-barang keperluan harian kegunaan rakyat dikenakan cukai sebanyak 5%. Rakyat dibebani dengan pelbagai cukai, tetapi kebajikan mereka tetap tidak terbela.Itu tidak termasuk lagi angkara orang kafir yang tujuan mereka adalah untuk menjatuhkan Islam dan salah satu cara mereka adalah dengan menyerang umat Islam dari sudut ekonomi.Sebelum Malaysia diserang kegawatan ekonomi, AS$1 hampir bersamaan dengan RM1.20, tetapi selepas ekonomi Malaysia diserang oleh George Soros (seorang spekulator matawang berbangsa Yahudi),paras ringgit menjunam sehingga AS$1 bersamaan dengan RM4.80.Ini menyebabkan kejatuhan ekomomi Malaysia sehingga menimbulkan kemelesetan ekonomi. Beribu-ribu pekerja terpaksa diberhentikan oleh sebab tersebut.Semua itu adalah angkara orang kafir yang irihati dengan Islam dan cuba menjatuhkannya,dan salah satu daripada cara mereka ialah dengan menyerang ekonomi umat Islam.Jika dipandang dari sudut global pula,umat Islam telah lama diserang ekonominya oleh orang kafir. Pada tahun 2003,Amerika Syarikat telah menyerang Iraq atas alasan ia adalah negara pengganas.Akan tetapi bak kata pepatah: ada udang disebalik batu, tujuan Amerika Syarikat adalah untuk mendapatkan sesuatu yang amat bernilai di Iraq iaitu simpanan minyak mentahnya.’NEGARA PENGGANAS’ itu cuma propaganda Amerika Syarikat untuk menghalalkan perbuatannya menyerang Iraq.Tujuannya cuma satu, iaitu untuk mendapatkan minyak yang merupakan alat untuk mengawal ekonomi dunia. Akhirnya selepas mendapat apa yang mereka hajati, kesan daripadanya dapat sendiri kita yang berada di Malaysia ini rasakan iaitu dengan peningkatan harga bahan api tersebut. Berlainan pula dengan apa yang berlaku di Palestin pada tahun 2006, selepas umat Islam di Palestin mendapat hak ke atas negara mereka sendiri dengan diterajui oleh Hamas. Amerika Syarikat bersama sekutu-sekutunya iaitu Israel dan Kesatuan Eropah mula mengadakan sekatan ekonomi ke atas mereka. Barang-barang keluaran Palestin tidak dapat dieksport sehingga tersadai di pelabuhan. Akhirnya barang-barang tersebut terpaksa dijual dengan harga dibawah paras kos pengeluarannya. Ini menyebebkan perkembangan ekonomi Palestin terbantut sedangkan pada masa itu Palestin merupakan sebuah negara Islam yang baru dibentuk dan baru hendak berkembang.
Inilah diantara contoh serangan dan sekatan orang-orang kafir terhadap ekonomi umat Islam. Umat Islam adalah seperti barang mainan mereka, boleh diperlakukan dengan sesuka hati sahaja. Wajarlah untuk kita merenung sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi “Umatku di akhir zaman adalah umpama buih dilautan namun kalian dijangkiti sifat al-wahnu (cintakan dunia, takutkan mati)", seperti buih yang apabila datang ombak berkecailah ia, begitu jugalah umat Islam. Umat Islam berpecah belah serta mudah dipermainkan oleh musuh Islam. Oleh itu, marilah kita sama-sama merenung keadaan umat Islam dan juga ekonomi umat Islam khususnya.

ISU PENGHAYATAN ISLAM : RAHSIA JARI-JEMARI MANUSIA


Jari-jemari manusia menyimpan seribu satu rahsia pemiliknya. Antara misteri jari ialah penentu kepada kesihatan manusia. Menurut ajaran Islam seseorang perempuan yang ingin dikahwini juga adalah diseru agar dilihat dan diperhatikan kepada jari. Melaluinya kesihatan seluruh tubuh badan dapat dipastikan oleh pihak lelaki. Sebagai bukti kekuasaan Allah yang telah menjadikan jari ialah bagaimana penghidap kencing manis juga adalah dinasihatkan oleh pakar kesihatan agar membuat pemeriksaan sendiri terutama pada jari-jemari dan juga jari kaki yang sering kebas untuk mengesan tanda luka atau jangkitan. Ini kerana deria rasa sakit penghidap kencing manis akan berkurangan. Rawatan awal ini dapat mengelak jangkitan merebak dengan lebih dahsyat.

Selain itu perokok tegar juga dapat dikesan melalui tanda-tanda tindak balas bahan kimia dalam rokok yang terdapat di jari-jemari. Buktinya setiap kali perokok menyedut, dia akan menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh perokok. Antara kesan serius ini ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari-jemari perokok akan menjadi kuning.

Manakala dalam masyarakat Cina lebih gemar menilik dan membelek tangan serta kulit timbul di jari-jemari untuk menilik masa depan seseorang. Pemerhatian yang mendalam dengan mengambil kira susur galur urat di jari-jemari akan menceritakan banyak rahsia seperti kebahagiaan dan kecelakaan seseorang menurut pengamalan masyarakat Cina. Manakala dalam masyarakat Melayu yang sinonim dengan penghayatan Islam pula mengembalikan rahsia dan cap jari adalah milik Allah pencipta manusia. Namun, sekiranya kita perhatikan jaluran urat di tapak tangan kanan akan tertera nombor Arab 18 dan tapak tangan di bahagian kiri pula akan tercatat nombor 81. Jika seorang hamba Allah berdoa, maka kedua-dua tapak tangan ini akan dicantumkan dan cantuman ini akan menjadikan angka 99. Nombor 99 ini boleh diertikan dengan 99 nama Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Mulia.

Hakikatnya jari dan cap jari merupakan tanda di antara tanda kekuasaan Allah. Kondisi dan struktur jaringan halus urat timbul yang kompleks ini telah menyebabkan proses sains dan teknologi makin berkembang pesat untuk mengkaji serta menyelidik demi menambah baik kesenangan dan keselesaan hidup manusia pada masa mendatang. Walaupun situasi jenayah makin bertukar dan berkembang pesat selari dengan kepesatan teknologi, namun adalah sesuatu yang mustahil di alam ini bagi menghilangkan dan melenyapkan identiti diri kerana setiap penciptaan manusia ada hikmah yang tersirat dan tersimpul di sebalik kejadiannya.




ISU AKIDAH ISLAM : BLACK METAL PEROSAK AKIDAH ISLAM



Fahaman Black Metal ini dikatakan mempunyai unsur seperti antisosial, anti Tuhan, antiagama, serta mengajar fahaman ke arah pemberontakan, kebebasan yang melampau yang boleh merosakkan kehidupan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

Kumpulan ini dikatakan cuba mengadakan pesta liar, melalui pesta muzik sebagai medan melepaskan perasaan, pesta berunsur seks, menarikan tarian ghairah yang melampau. Pihak berkuasa juga menjumpai dan merampas pelbagai produk, risalah, cakera padat, dan kaset, buku ideologi dan baju T yang ada kaitan dengan kegiatan tidak bermoral kumpulan terbabit.

Sebagai bukti, pihak berkuasa juga merampas pelbagai buku menganai ideologi kumpulan muzik ’bawah tanah’ itu yang ditemui dalam beg beberapa remaja yang ditahan termasuklah The Urprising, Stop The Clock dan DURGA. Golongan remaja ini dikatakan cuba mencari kelainan hingga sanggup meniru kelakuan pelik. Punca remaja ini terbabit ialah disebabkan perasaan ingin tahu serta mencari keseronokan.

Pengaruh Black Metal ialah antara alternatif atau jalan keluar yang mereka anggap sebagai ruang untuk mengeluarkan diri mereka daripada norma biasa kehidupan manusia. Amalan gaya hidup dengan seks bebas, meminum darah, menghalalkan arak dan paling tragis sanggup mengoyak, memijak dan membakar al-Quran merupakan perbuatan paling hina dalam Islam.

Beberapa ciri kumpulan Black Metal antaranya petikan gitar menggunakan irama muzik Mayhem berbangsa Norway, Oystein Arseth atau lebih dikenali Euronymous ialah anggota yang paling menonjol pada lewat 1980-an dan awal 1990-an. Mempunyai kaitan dengan pengaruh neo-nazi, beliau memasukkan elemen yang menentang Yahudi. Pergerakan kumpulan ini dilakukan secara sembunyi bermula di bilik bawah tanah kedai muzik Arseth. Bilik bawah itu dikenali sebagai Halvete (neraka).

Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam telah memutuskan ajaran Black Metal yang diasaskan oleh kumpulan muzik berirama rock berat dari Barat adalah haram dari segi Islam. Beberapa langkah perlu diambil bagi mengelakkan pengaruh Black Metal di kalangan remaja :

Menyucikan hati daripada pengaruh yang tidak berakhlak dan tidak bermoral dengan membersihkan diri daripada maksiat yang boleh menjerumuskan remaja ke arah pemesongan akidah.

*Mengelakkan suasana persekitaran yang boleh mempengaruhi rangsangan nafsu dan akal. Galakkan remaja dengan berfaedah seperti kem ibadah, kursus kecemerlangan, serta motivasi diri bagi membina personaliti unggul. Selain itu, libatkan diri dengan kegiatan riadhah, sukan dan permainan yang boleh membentuk akal dan tubuh badan yang sihat.

*Menjauhi rakan-rakan yang terpengaruh dengan muzik Barat yang mengamalkan pergaulam bebas, serta tidak mudah terpengaruh dengan ajaran rakan yang tidak dikenali.

*Pilih rakan sebaya yang mendorong ke arah kejayaan

*Ibu bapa dan guru hendaklah mendidik anak dan anak muridnya dengan ilmu agama yang tinggi.

*Ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak

ISU PENDIDIKAN ANAK : HIDUPKAN SUNNAH DI DALAM RUMAH


Ibu bapa yang bijak harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini, mereka harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Dalam masa yang sama, perlakuan ibu bapa harus menjadi contoh pada anak-anak tanpa ada perbezaan kerana anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Contohnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkannya. Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan orang sekeliling yang berlawanan dengan didikan mereka kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan terhadap anak-anak. Untuk mendidik anak-anak dengan pendidikan yang baik, kita haruslah menghidupkan sunnah di dalam rumah, antaranya ialah :



  • Memberi salam

  • Membiasakan anak membaca doa setiap kali melakukan sesuatu perkara

  • Membiasakan berzikir dan mengucap

  • Solat berjemaah

  • Mengaji al-Quran bersama-sama

  • Menghadiri kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang menambahkan informasi Islam

  • Merapatkan ukhwah – contohnya makan bersama-sama

  • Memberi kasih sayang rata yang kepada semua anak-anak

  • Penampilan yang bersih dan rapi

  • Mengajar anak-anak berdikari

  • Biasakan anak-anak mengetuk pintu bilik sebelum masuk

ISU NEGARA ISLAM : CETUS KRISIS KEMANUSIAAN - STRATEGI ISRAEL HAPUSKAN PALESTIN




Kemelut kemanusiaan di Semenanjung Gaza dilihat semakin rumit serta menyebabkan krisis kemanusiaan terbesar dalam sejarah dunia abad ke 21. Dilema politik yang disebabkan oleh pertembungan tiga penjuru di antara Israel dengan pejuang politik Palestin iaitu Fatah dan Hamas telah menyebabkan krisis politik mulai merebak kepada krisis kemanusiaan. Sebagaimana maklum, krisis kemanusiaan Palestin telah sekian lama bertapak sejak penubuhan Israel pada 11 Mei 1948. Sejak itu, Palestin semakin hari semakin lenyap dijajah Israel secara kekerasan dan merebaklah krisis kemanusiaan yang mutlak.

Pertembungan politik Fatah-Hamas telah menyebabkan perpecahan Palestin kepada dua wilayah dengan dua pemerintah berbeza, iaitu Fatah mentadbir Tebing Barat dan Hamas pula mendominasi Semenanjung Gaza. Ini memecahkan negara Palestin yang dahulunya bersatu walaupun terpisah kewilayahannya.

Peristiwa pemencilan Gaza dengan melakukan penutupan sempadan serta menghalang pergerakan logistik sama ada makanan mahu pun perubatan dan keperluan seharian lainnya, termasuk pemotongan bahan bakar dan bekalan elektrik dilihat sebagai satu cubaan yang bukan hanya bertujuan melemahkan Hamas yang menduduki Gaza, sebaliknya menggunakan alasan peminggiran Hamas, penghapusan secara bersistematik terhadap umat Palestin semakin terang-terangan dilakukan oleh rejim Zionis. Krisis politik Palestin yang turut diambil kesempatan oleh Tel Aviv telah merebakkan krisis kemanusiaan terbesar di dunia abad ke-21.

Kekejaman pihak pemerintah Israel mampu dilihat menerusi keputusan Mahkamah Tinggi Israel pada 30 Januari 2008 dengan menolak petisyen yang dikemukakan oleh 10 kumpulan hak asasi manusia yang mendesak agar tindakan kejam pihak rejim Zionis ke atas umat Palestin di Gaza dengan melakukan pemencilan serta pemotongan bekalan elektrik dan minyak ke kawasan berpopulasi 1.5 juta tersebut adalah satu keputusan yang jelas melanggar prinsip kemanusiaan.

Kini, Israel menggunakan teknik melakukan pembunuhan bersistematik menggunakan kaedah perebakan krisis kemanusiaan sebagai agen senyap menghapuskan populasi Palestin. Dengan berlakunya krisis kemanusiaan, maka umat Palestin pastinya ada yang mati kebuluran sera diancam wabak dan penyakit serta generasi baru yang lahir pasti akan mengalami guagatan kesihatan yang nyata akibat kekurangan zat makanan serta kurangnya perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Ap yang berlaku di Gaza kini harus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, iaitu satu langkah konkrit perlu diambil dan bersifat segera bagi mendamaikan entiti politik Palestin serta meneruskan agenda perdamaian seperti yang diusahakan Riyadh agar Israel tidak sewenangnya bebas mengambil kesempatan ke atas dilema politik umat Palestin tersebut. Jika tindakan segera tidak diambil, maka dikhuatiri bukan sahaja Gaza yang akan mengalami krisis kemanusiaan terbesar, namun, nasib Palestin itu sendiri untuk mencapai kedaulatan sebuah negara merdeka dan bebas mungkin akan hanya tinggal sejarah.

Sunday, October 26, 2008

ISU ILMU-ILMU ISLAM : DAKWAH DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT



Ensiklopedia Malaysia menjelaskan tentang media, iaitu saluran atau alat bagi pengamal perhubungan awam menyampaikan mesej atau maklumat. Asas media dakwah ialah apa yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW pada masanya yang dijadikan saluran dakwahnya dan ia akan menjadi asas kepada dakwah sepanjang masa. Dr. Mahy al-Din Abdul Halim menerangkan kepada beberapa media yang digunakan juga oleh Nabi SAW untuk menyalurkan dakwah baginda. Media tersebut ialah melalui syair, khutbah, seruan, atau laungan di pasa.

Sebagi satu asas dalam pemilihan media dan saluran dakwah ialah bahawa Islam menggalakkan pengikutnya menggunakan setiap saluran yang boleh menyampaikan dakwahnya kepada sasaran, tanpa melihat dari mana datangnya saluran atau media itu. Cuma, dengan syarat asalkan ia tidak bercanggah dengan roh Islam dan tabiat hukumnya.

Dapatlah difahami bahawa asas media dakwah ialah apa jua saluran informasi semasa yang sesuai digunakan untuk memberikan penjelasan tentang Islam kepada khalayak. Media dakwah Islam seharusnya bersifat semasa, menarik dan berkesan di samping tidak bercanggah dengan Islam.

Maka jelas penggunaan media massa elektronik mahu pun cetak harus digunakan sebagai media dan perantaraan dalam berdakwah selagi digunakan dengan sebijaknya dan mengikut lunas-lunas etika yang ditetapkan. Penggunaannya dalam berdakwah harus dipantau sekucupnya supaya tiada unsur-unsur penyelewengan.

Penyebaran mesej dakwah melalui drama televisyen, radio, multimedia dan animasi juga dikira sebagai medium yang boleh digunapakai bagi pendakwah menyampaikan dakwah selagi media ini tidak disalah guna untuk menyeleweng ajaran agama.

Penggunaan media dakwah yang pelbagai ini seharusnya mencetuskan aura dakwah yang maksimum dan diharap dapat menyaingi kebanjiran unsur-unsur negaif di media massa masa kini.

Penyediaan media penyiaran Islam selain siaran radio ikim.fm sebagai media alternatif seharusnya dipertingkatkan dan dipromosikan ke peringkat global dalam usaha memperkasakan usaha pendakwahan sejagat.

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM : MALAYSIA NEGARA ISLAM-ADAKAH SYARIAH PERLU DI DALAM NEGARA ISLAM

Sejak kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah di Turki yang telah memansuhkan sistem khalifah pada tahun 1924, gerakan islah untuk mengembalikan semula peranan syariah di dalam sistem pemerintahan Islam telah digerakkan oleh pelbagai gerakan Islam yang berorientasi intelektual dan politik. Dari segi pemikiran, beberapa tokoh mujaddid seperti Rashid Rida, Hassan al-Banna, Abul ’Ala al-Maududi, Yusuf al-Qardhawi dan lain-lain telah menghasilkan beberapa karya penting untuk mengajak umat berjuang mendaulatkan syariah di dalam kehidupan umat dan negara. Penjajah Barat dengan dukungan sebahagian besar pimpinan umat Islam yang telah menerima sekularisme sebagai ideologi negara telah berjaya melaksanakan undang-undang sivil bagi menggantikan undang-undang syariah yang telah dipakai di dalam semua bidang kehidupan manusia sejak beberapa kurun lalu. Akibatnya syariah terpinggir dalam arus perdana negara. Undang-undang syariah hanya diguna pakai di dalam urusan peribadatan dan kekeluargaan.

Hakikatnya yang dikatakan ’negara Islam’ itu ialah sebuah negara yang benar-benar iltizam untuk melaksanakan syariah Islam secara total. Al-Quran dan al-Sunnah hendaklah menjadi sumber perundangan Islam yang tertinggi di dalam perlembagaan, badan, badan eksekutif, perundangan dan kehakiman. Selain dari al-Quran, umat Islam juga hendaklah memahami konsep Sunnah dengan mendalam. Ini adalah penting kerana hukuman-hukuman yang berlaku pada zaman junjungan Muhammad s.a.w telah diguna pakai di dalam sistem pemerintahan Islam pada masa itu. Syariah Allah S.W.T itu sentiasa adil kepada semua orang. Keadilan Allah S.W.T jangan dipersoal oleh sesiapa. Undang-undang Allah S.W.T dari segi kebenaran dan keberkesanannya jika dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia jelas terbukti dalam sejarah peradaban Islam. Walaupun perlaksanaan syariah di beberapa buah negara Islam seperti Arab Saudi, Sudan, Iran dan Pakistan terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan dari segi perlaksanaan, namun kesan-kesan positif dalam kehidupan rakyat di negara-negara tersebut tidak dapat dinafikan.

Kita tidak menafikan memang ada beberapa masalah yang menghalang perlaksanaan syariah di Malaysia saat ini. Perlaksanaan masih perlu mengambil masa yan panjang. Justeru, kita perlu melakukan proses pendidikan kepada rakyat termasuk masyarakat bukan Islam. Yang jelas rata-rata salah faham terhadap syariah masih wujud di dalam masyarakat.

Syariah adalah sebahagian dari doktrin Islam yang penting. Syariah ditanzilkan oleh Allah S.W.T untuk kesejahteraan hidup manusia. Justeru, kita mesti menjadikannya sebagai satu ``taklif syarii”. Iman kita tidak sempurna jika kita ragu apalagi menolak syariah. Hari ini undang-undang ciptaan manusia tidak dapat menjamin kelestarian hidup manusia. Terlalu banyak kebejatan moral dan kedurjanaan jenayah berlaku. Fenomena tersebut sedang meningkat di negara yang masih mengagungkan undang-undang sivil yang diimport dari Inggeris.
Masyarakat Malaysia perlu diselamatkan demi kesejahteraan hidup pada masa mendatang sejajar dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Perlaksanaan syariah memerlukan beberapa ramuan, antaranya, keikhlasan niat, keilmuan yang meluas, iltizam pimpinan di semua peringkat masyarakat terutama sekali para umara’, para ulama’ para hakim dan peguam, cendekiawan, NGO-NGO Islam dan lain-lain pihak yang berkewajipan.

Saturday, October 25, 2008

Negara Demokrasi Harus Benarkan Pelajar Berpolitik


KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Berdasarkan pindaan terbaru Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memansuhkan perkara 15 dan 16 yang menghalang mahasiswa terlibat dengan pertubuhan dan persatuan di luar kampus.
Kenyataan demikian dibuat Timbalan Menteri KPT, Dato' Idris Haron (BN-Tangga Batu) menjawab soalan tambahan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) pada sesi soal jawab lisan, semalam.
Jelasnya, pindaan Auku 1991 telahpun dibacakan kali pertama Julai lalu yang telah melalui proses kajian serta perbincangan yang agak panjang dengan pindaan sebanyak 69 daripada 119 fasal.
Ustaz Hadi sebelum itu menegaskan bahawa negara yang demokrasinya maju tidak menghalang mahasiswa dan ahli akademik melibatkan diri dalam politik dan pertubuhan-pertubuhan ke arah melahirkan pemimpin pelapis.
Sementara itu, Idris turut menjelaskan alasan larangan mahasiswa berpolitik secara aktif yang didakwa akan mewujudkan polarisasi kaum, ideologi dan agama di kalangan kaum yang mempunyai pendedahan kepada plural society.
Ia merupakan jawapan kepada soalan tambahan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy jamaludin (BN-Rembau) yang memohon penjelasan berkaitan senario yang hanya membenarkan mahasiswa di luar negara bergiat secara aktif dengan kelab yang ditubuhkan oleh parti-parti politik di sana.
"Kenapakah mahasiswa ini tidak diberikan kebebasan untuk menyertai parti-parti politik sedangkan di luar negara mereka boleh menyertai kelab-kelab yang telah ditubuhkan secara langsung oleh parti politik tertentu di Malaysia?
"Apakah perbezaan pelajar universiti tempatan dan universiti luar negara yang tidak membenarkan pelajar kita di sini menyertai parti politik, tetapi hanya dibenarkan menyertai pertubuhan NGO dan apakah sebab mereka disekat dari terus untuk pergi kepada parti politik?" katanya.
Idris berhujah dengan menyatakan alasan tindakan KPT memperkenalkan Akta 15 ini bagi mengelakkan mahasiswa daripada terpengaruh dengan mana-mana parti politik yang boleh menjejaskan tumpuan mahasiswa kepada akademik.
"Pelajar tidak disekat untuk menjalankan kajian berkaitan politik dalam negara. Selain itu pelajar berpeluang mengamalkan demokrasi dalam pilihan raya kampus.
"Jadi sekiranya ada pihak yang menyatakan pelajar kita tidak dibenarkan berpolitik itu adalah tidak benar sama sekali sedangkan kita masih mengamalkan politik dalam pilihan raya kampus," demikian ujarnya.
Ustaz Hadi dalam soalan asalnya kepada KPT meminta penjelasan mengenai aspek yang akan diberi penekanan dalam pindaan terhadap Auku dan rasional bersabit pindaan tersebut.

Wednesday, October 22, 2008

RENUNGAN BERSAMA

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud

"Ada 4 di pandang sebagai ibu", yaitu :

1. Ibu dari segala uBAT adalah SEDIKIT MAKAN.

2. Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERCAKAP.

3. Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA.

4. Ibu dari segala CITA2 adalah SABAR

Berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan Kesabaran.

Beberapa kata renungan dari Qur'an bahwa

Orang yang tidak melakukan solat pada :

* Subuh : Dijauhkan cahaya muka yang bersinar

* zuhur : Tidak diberikan berkah dalam rezekinya

* Asar : Dijauhkan dari kesihatan/kekuatan

* Maghrib : Tidak diberi santunan oleh anak-anaknya.

* Isya : Dijauhkan dari kedamaian dalam tidurnya

sabda rasul," sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."

AMANAT


Daripada Sayidatina Aisyah r.h.a., telah berwasiat Rasulullah s.a.w. Sabdanya: “Hai Aisyah, aku berwasiatkan wasiat ini, maka hafalkanlah olehmu akannya. Engkau akan sentiasa dalam kebajikan selagi engkau menghafali wasiatku ini. “Hai, Aisyah peliharalah dirimu kerana bahawasanya kebanyakan kaum wanita menjadi isi neraka dan kayu apinya. Lalu aku bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapakah terjadi yang demikian itu?” Jawab baginda, “Kerana mereka tidak sabar di atas kesusahan, tidak memuji Allah atas kemurahan-Nya, mengkufuri nikmat-Nya, banyak berkata kepada perkara yang sia-sia. Kaum perempuan juga kurang pada akal dan agamanya. Adapun kurangnya pada agama, bahawasanya perempuan itu pada setiap bulan meninggalkan solat sekian-sekian harinya dan keadaan kurang akal ialah Allah s.w.t menjadikan dua orang saksi wanita bagi ganti seorang saksi lelaki. "Hai Aisyah, adalah kebanyakan wanita apabila diberi; tiada bersyukur dan apabila ditimpa bencana tidak sabar. Apabila dipalingkan muka daripada mereka, mereka akan mengadu-ngadu dan mengkufuri nikmat.” Memperkecil Jasa Suami Aku bertanya lagi, “Ya Rasulullah, bagaimanakah yang dikatakan mengkufuri nikmat itu?” Sabdanya, “Kerana bahawasanya wanita itu di bawah jagaan kaum lelaki, kemudian beroleh anak dua atau tiga orang, lalu berkata, Demi Allah tiada aku lihat padamu (suaminya) walau satu kebajikan. "Hai Aisyah, apabila berkata seorang wanita kepada suaminya; tiadalah kulihat satu kebajikan pun daripadamu; maka ditolak oleh Allah segala amalannya. "Apabila seorang wanita menyakiti suaminya dengan lidah, maka Allah akan menjadikan lidahnya pada hari kiamat sepanjang tujuh 70 hasta lalu diikat ke belakang tengkuknya. "Seorang wanita memandang suaminya dengan pandangan jahat dan memalingkan mukanya daripada suaminya, maka pada hari akhirat Allah menghempas muka dan tubuhnya. "Apabila seorang wanita itu tidak bertukar tempat tidur atau berpindah tempat tidur dan menyukarkan kerja suami, mengingkari nikmat yang diberi suami atau khianat pada dirinya, ia akan dihitamkan mukanya di akhirat dan kelabu warna matanya. Akan diikat ubun-ubunnya kepada kakinya lalu diletakkan syaitan di atas mukanya di dalam neraka. Tidak Berdoa Untuk Suami "Apabila seorang wanita bersolat untuk Tuhannya, kemudian berdoa untuk dirinya tetapi tidak berdoa untuk suaminya; solatnya itu akan dipukulkan ke mukanya sehinggalah dia mendoakan untuk suaminya, kemudian barulah dia berdoa untuk dirinya.” Balasan untuk perempuan yang tidak sabar “Hai Aisyah, apabila wanita ditimpakan bala, lalu dia menampar-nampar muka dan mencarik-carikkan kainnya, maka adalah ia bersama isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut di dalam neraka. Dan ia akan berputus asa daripada segala kebajikan akhirat dan daripada syafaat di akhirat. “Apabila wanita berkabung di atas kematian lebih daripada tiga hari digugurkan amalannya oleh Allah s.w.t. “Hai Aisyah, apabila meratap wanita di atas kematian maka Allah menjadikan lidahnya sepanjang 70 hasta lalu diseret ke dalam neraka bersama orang-orang yang mengikutinya.” Kewajipan suami “Hai Aisyah, tiadalah seseorang lelaki itu masuk ke rumahnya dengan memberi salam kepada ahli keluarganya melainkan diberi banyak kebajikan kepada rumah itu dan dihindarkan daripada mereka papa. Dia dan ahlinya adalah sentiasa di dalam nikmat dunia dan nikmat akhirat. “Hai Aisyah, terlalu kerap sahabat yang aku kasihi; Jibril, mengingatkanku mengenai kebajikan wanita sehingga aku merasakan bahawa mentalakkan wanita itu akan diharamkan. Hai Aisyah, akulah pembela wanita yang ditalakkan suaminya tetapi dia tidak memberi mahar kepada wanita itu. Allah s.w.t akan menjadi kadinya. “Apabila lelaki menegah haknya (pakaian, makanan dan sebagainya) maka Allah s.w.t akan menegahnya daripada nikmat syurga pada hari kiamat nanti. “Apabila lelaki yang beristeri ramai tidak berlaku adil antara mereka; tidak sama pada giliran tidur, nafkah, pakaian, makanan dan pandangan; maka ia akan dilaknat oleh Allah juga malaikat dan manusia kesemuanya. Pahala Besar Kerana Hamil “Hai Aisyah, tidak mengandung seorang wanita daripada benih suaminya melainkan pada waktu ia mengandung itu diberi pahala seperti pahala puasa pada siang hari dan seperti pahala orang yang solat sepanjang malam serta pahala orang yang berperang di jalan Allah. “Tidaklah seorang wanita itu yang melahirkan anaknya itu melainkan setiap kesakitan itu seperti memerdekakan seorang hamba dan setiap kali memberi susu itu juga seperti memerdekakan seorang hamba. Hai Aisyah, apabila seorang wanita mengeluarkan susu untuk anaknya maka berseru suara dari langit yang menyerukan; ‘Hai wanita, cukuplah pada amalan yang lalu, maka cukuplah baginya amalan-amalan yang akan datang.’ Pahala Kerana Meringankan Mahar “Hai Aisyah, apabila seorang wanita meringankan mahar kahwinnya dan isi hantarannya maka setiap dirham yang dikurangkan itu adalah haji yang mabrur dan umrah yang makbul. Dan diampunkan dosanya dan dosa yang lampau, sama ada disengaja atau tidak sengaja. “Apabila seorang wanita itu bersabar atas kejahatan suaminya maka ia seperti pahala orang yang menumpahkan darah dalam perang sabilillah. Selain itu ia tergolong dalam golongan qanitaat (banyak ibadah), zakiraat (kuat mengingati Allah), muslimin dan mukminat yang banyak beribadah. “Maka bersungguh-sungguhlah kamu dan bersungguh-sungguhlah. Nescaya kamu akan bersahabat dengan pengikut wanita Nabi Yusuf, Nabi Daud, Nabi Adam, Nabi Nuh dan Nabi Lut.”


Monday, October 20, 2008

KECANTIKKAN

Menginginkan kecantikan dan suka kepada kecantikan tidak menjadi satu kesalahan. Ia adalah fitrah semulajadi manusia. Semua orang, tidak kira yang cantik ataupun yang hodoh, sukakan kecantikan. Bukan itu sahaja, Tuhan yang kita sembah itu pun sangat cantik. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam satu hadisnya, Allah itu indah dan suka pada keindahan. Keindahan Allah terletak pada sifat-sifat kesempurnaan-Nya. Allah juga cinta pada keindahan, sebab itulah Islam yang diturunkan oleh Allah untuk menjadi anutan manusia ini juga sangat indah. Dan salah satu ciri keindahan Islam ialah ajarannya sangat cocok dengan fitrah semula jadi manusia. Jika ada orang yang mengatakan Islam itu tidak indah, bukan Islam yang tidak indah tetapi jiwa orang itu yang tidak indah. Begitu jugalah dunia ciptaan Allah ini, ia juga sangat indah. Wanita juga adalah ciptaan Allah dan tentu sahaja wanita cantik. Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan pelbagai manusia, maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanita itu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya. Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendek kata kecantikan itu sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya. Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi. Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut, tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi. Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh- Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Kecantikan ini jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Kecantikan akhlak adalah satu yang abadi. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci. Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran yang cerdik. Nafsu menilai pada bentuk tubuh yang menarik. Tetapi hati pula menilai kecantikan pada akhlak dan budi. Dan kecantikan akhlak ini lebih diterima oleh semua orang berbanding kecantikan wajah dan tubuh badan. Misalnya, orang jujur, siapa pun sukakannya. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, dan fizikal, penilaian manusia tetap tidak sama. Macam-macam tafsiran boleh didapati. Jika ada yang meletakkan kecantikan pada hidung, ada pula yang menyatakan kecantikan terletak pada mata. Pepatah mengatakan, 'beauty is in the eye of beholder'. Sejajar dengan erti kecantikan yang hakiki, Rasulullah s.a.w juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara justeru kecantikannya. Dan kecantikan ini memberi manfaat kepada semua orang. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik. Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Sebaliknya, melalui pengalaman hidup, kita dapati ramai wanita cantik yang musnah dirinya dan memusnahkan orang lain. Kenapa terjadi demikian? Ada ungkapan yang berbunyi, 'kemusnahan akan menimpa jika wanita mula merasai dirinya cantik dan mempamerkan kecantikan'. Mungkin kenyataan ini ada benarnya. Tetapi hakikatnya, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka itu akan menyebabkan pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah. Ramai wanita cantik telah diperalatkan ke arah aktiviti-aktiviti kemungkaran. Kecantikan mereka telah dieksploitasi oleh nafsu dan kepentingan duniawi semata-mata. Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah r.a, Atikah binti Zaid dan lain-lain. Oleh itu dapatkanlah kecantikan sejati. Carilah wajah hati dan rupa budi yang menawan. Ingatlah bahawa kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu, pertama, tanamkan di dalam hati kita iman berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Kemudian iman ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, tapi jangan buruk perangai. Begitu juga, rambut yang dianggap sebagai "mahkota wanita" itu hendaklah ditutup. Ini bukanlah bererti menutup kecantikan wanita. Kecantikan itu tidak seluruhnya terletak pada rambut, hingga menutup rambut boleh menghilangkan kecantikan wanita. Ya, memang rambut mahkota wanita, justeru mahkotalah ia tidak boleh dipamerkan sesuka hati. Ratu hanya memakai mahkota dalam majlis-majlis tertentu, di hadapan orang-orang tertentu. Dia tidak memakai mahkotanya ke pasar, ke tempat-tempat awam kerana takut akan ada orang yang merompak atau mencurinya. Begitulah rambut kepada wanita, jika ia dianggap mahkota maka ia perlu disimpan dengan baik. Ditutup dengan kain yang sopan. Dan hanya dipamerkan kepada orang yang berhak yakni kepada suaminya. Tidak, kecantikan wanita tidak akan terlindung hanya dengan dia menutup tudungnya, kerana ada banyak kecantikan lagi yang boleh dipamerkannya. Misalnya, kecantikan tuturkata, tingkah laku dan budi pekerti. Bagaimana masih boleh kelihatan cantik walaupun telah menutup aurat? Seperti yang telah dikatakan tadi, jagalah hal-hal yang lain yang boleh dipamerkan. Misalnya, wajah kita biarlah bercahaya, pakaian kita kemas, muka kita bersih dan pandangan kita lembut. Bahagian muka dan tangan yang dibenarkan bolehlah dijaga dengan sebaik-baiknya. Begitu juga dengan kekemasan pakaian. Janganlah menutup aurat sahaja yang dipertahankan tetapi kebersihan dan kekemasannya diabaikan. Itu juga menjadi kewajipan. Memang tidak salah memakai haruman yang kuat, tetapi janganlah sampai busuk pula. Walaupun anda tidak cantik tetapi ini tidaklah bermakna anda harus merasa malu. Ini kerana anda mesti punya kelebihan tersendiri yang boleh menarik hati orang lain kepada anda. Apakah kelebihan itu? Ya, anda sendiri mesti mengetahuinya dan itulah nanti yang anda perlu manfaat untuk membuang rasa malu tidak bertempat yang singgah di hati anda sekarang. Untuk mendapat kasih sayang, anda tidak perlu cantik. Tetapi apa yang penting ialah berikanlah kasih sayang. Jika anda mula memberi, insya-Allah akan anda akan menerimanya semula nanti. Rupa sesebuah keluarga bukanlah terletak hanya pada wajah anggota keluarga itu, tetapi yang lebih penting ialah pada akhlak dan kebaikannya. Anda tidak boleh mengubah wajah anda, tetapi anda boleh mengubah kelakuan anda. Dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik. Ramai orang yang mukanya buruk dan sederhana sahaja tetapi apabila kita dekati dan gauli, semakin hari semakin menawan pula. Sudah terlindung hidungnya yang pesek dek akhlaknya yang baik. Anda boleh menjadi orang itu. Dan percayalah anda akan disayangi bukan sahaja oleh keluarga anda dan orang lain bahkan Allah juga akan menyayangi anda. Burulah kecantikan yang sejati, kerana di situlah ketenangan dan kebahagiaan abadi.

Cinta Allah kekal abadi....


Tetamu menulis "Di Sebuah Taman Kota Kosmopolitan 2001… Para pekerja yang sibuk membersihkan kawasan taman rekreasi gempar. Raungan bunyi ambulan begitu mengejutkan ketika pagi yang masih terlalu awal ini. Kelihatan beberapa petugas paramedik begitu sibuk memberi pertolongan kepada sepasang muda-mudi yang terperangkap di dalam sebuah kereta di taman tersebut.
Buta Cinta: Sesat Di Dunia, Merana Di AkhiratDilulus terbit pada Wednesday, February 16 @ 08:36:13 MYT oleh LinuxProDi Sebuah Taman Kota Kosmopolitan 2001… Para pekerja yang sibuk membersihkan kawasan taman rekreasi gempar. Raungan bunyi ambulan begitu mengejutkan ketika pagi yang masih terlalu awal ini. Kelihatan beberapa petugas paramedik begitu sibuk memberi pertolongan kepada sepasang muda-mudi yang terperangkap di dalam sebuah kereta di taman tersebut. Nahas bagi pasangan merpati dua sejoli itu, malaikat maut telah mencabut nyawa mereka dalam keadaan yang sungguh tragik.
Apa yang terjadi sebenarnya? Ternyata sepasang muda-mudi itu nekad membunuh diri dengan menutup saluran ekzos kereta dengan keadaan enjin kereta masih terpasang. Akibatnya mereka mati dalam keadaan berpelukan dan saling berciuman sehingga begitu sukar pihak bertanggung jawab memisahkan antara dua jasad tersebut. Begitu ‘mengharukan’!. Didalam kereta tersebut ditemui selembar kertas yang telah mereka tanda tangani. Antara kandungannya; tolong jangan pisahkan mayat kami dan terus dikebumikan bagi membuktikan cinta abadi kami sehidup semati. Dan di bahagian akhir surat tersebut tercatat bahawa mereka melakukan ini demi menyelamatkan cinta ‘sejati’ yang ‘suci’ ini kerana orang tua tidak merestui hubungan cinta mereka. Astaghfirullah…! Di sebuah rumah di Jazirah Arab 1400 tahun yang lampau… Abdullah bin Abu Bakar RA baru saja melangsungkan pernikahan dengan Atikah binti Zaid, seorang wanita cantik rupawan dan berbudi luhur. Dia seorang wanita berakhlak mulia, berfikiran cemerlang dan berkedudukan tinggi. Sudah tentu Abdullah amat mencintai isteri yang sebegitu sempurna menurut pandangan manusia. Pada suatu hari, ayahnya Abu Bakar RA lalu di rumah Abdullah untuk pergi bersama-sama untuk solat jemaah di masjid. Namun apabila beliau dapati anaknya sedang berbual-bual dengan Atikah dengan lembut dan mesra, beliau membatalkan niatnya dan meneruskan perjalanan ke masjid. Setelah selesai menunaikan solat Abu Bakar RA sekali lagi melalui jalan di rumah anaknya. Alangkah kesalnya Abu Bakar RA apabila beliau dapati anaknya masih begurau senda dengan isterinya sebagaimana sebelum beliau menunaikan solat di masjid. Lantas Abu Bakar RA segera memanggil Abdullah, seterusnya bertanya : “ Wahai Abdullah, adakah kamu solat berjemaah ?” Tanpa berhujah panjang Abu Bakar berkata : ““Wahai Abdullah, Atikah telah melalaikan kamu dari kehidupan dan pandangan hidup malah dia juga telah melengahkan kamu dari solat fardhu, ceraikanlah dia!” Demikianlah perintah Abu Bakar kepada Abdullah. Suatu perintah ketika Abu bakar dapati anaknya mula melalaikan hak Allah. Ketika beliau dapati Abdullah mula sibuk dengan isterinya yang cantik. Ketika beliau dapati Abdullah terpesona keindahan dunia sehingga menyebabkan semangat juangnya semakin luntur. Lalu bagaimana tanggapan Abdullah? Tanpa berdolak dalih apatah lagi cuba membunuh diri, Abdullah terus menyahut perintah ayahandanya dan menceraikan isteri yang cantik dan amat dicintainya. Subhanallah!!! Dari dua petikan kisah di atas, marilah kita sama-sama merenung tentang hakikat dan bagaimana cinta sejati , tulus dan suci itu sebenarnya. Sesungguhnya perjalanan hidup manusia akan sentiasa dipenuhi dengan warna-warna cinta. Malah boleh kita ungkapkan bahawa kehadiran manusia di muka bumi ini disebabkan Allah SWT mencampakkan suatu perasaan di dalam jiwa manusia, itulah CINTA. Membicarakan tentang cinta ibarat menuras air lautan dalam yang kaya dengan pelbagai khazanah alam. Tak kan pernah habis dan kita akan sentiasa menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil ikan hingga ikan paus yang terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita mungkin menemui bangkai kapal dan bangkai manusia!!! Usia sejarah cinta seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di suatu tempat ada 1000 manusia maka di situ ada 1000 kisah cinta. Dan jika di muka bumi ini ada lebih 5 million manusia, maka sejumlah itu pulalah kisah cinta akan digelar. Walau berapa banyak pun nuansa cinta yang menjelma menjadi sebuah syair, drama, filem, lagu dan berbagai bentuk hasil seni lain, namun pada hakikatnya cinta itu hanya ada dua buah versi sahaja. Versi cinta nafsu (syahwat) dan cinta Rabbani. Yang menjadi persoalan sekarang adalah mampukah kita membezakan yang mana cinta syahwat dan mana cinta Rabbani? Derasnya arus ghazwul fikr (serangan pemikiran) dalam kesenian terutamanya, telah mampu membungkus cinta syahwat sehingga ia tampil sebagai cinta “suci” yang mesti diperjuangkan, dimenangkan dan diraih seterusnya untuk dinikmati. Manusia seakan lupa pada sejarah. Lupa pada kisah-kisah tragik yang berakhir di hujung pisau atau dalam segelas ‘penawar’ rumpai. Mereka semua rela diseret dan dijeremuskan ke dalam lubang ‘neraka’ hanya untuk mengejar salah satu rasa dari sekian banyak rasa yang ada disudut hati manusia, itulah cinta. Cinta memiliki kekuatan luar biasa. Dan kekuatan cinta (the power of love) mampu menjadikan manusia peribadi yang sangat nekad atau sangat taat. Nekad dalam konteks sangat berani dalam melanggar peraturan-peraturan Allah seperti berkhalwat (berdua-duaan dengan bukan mahram), berkasih-kasihan lelaki dan perempuan, berpegangan tangan, mempertontonkan adegan berahi per*****a di khalayak ramai apatah lagi dalam sembunyi. Atau jika cinta tak mendapat restu dari orang tua, pasangan akan nekad, terus lari dari rumah atau berzina (na’udzubillah min dzalik). Dan tidak sedikit pula yang begitu nekad sanggup melakukan perbuatan yang dilaknat Allah iaitu membunuh diri demi cinta. Peribadi-peribadi nekad seperti ini menjadikan cinta sebagai tujuan bukan sebagai sarana mencapai tujuan. Oleh itu tidak hairanlah jika kita temui pelbagai kelakuan aneh para pencari cinta yang tak masuk akal. Sebab apa yang mereka tuju adalah suatu yang abstrak, tidak jelas dan bukan perkara yang pokok. Mereka sibuk mencari dan mengertikan makna cinta sementara lalai terhadap Dzat yang menganugerahkan cinta. Dzat yang menumbuh suburkan rasa cinta. Dzat yang memberikan kekuatan cinta. Dzat yang paling layak dicintai, kerana Dia juga Empunya nikmat cinta. Allah Rabbul ‘Alamin. Kisah tragik di awal tulisan ini memberikan gambaran jelas sikap manusia yang rela mengorbankan diri demi sepotong cinta. Muda-mudi yang nekad bunuh diri dengan pelbagai cara ini pada dasarnya belum mengenali hakikat cinta. Cinta yang mereka kenal selama ini adalah cinta yang ditunggangi oleh nafsu syahwat. Dan joki penunggangnya adalah syaitan laknatulllah. Pada momen ini syaitan berteriak keriangan sambil mengibar-ngibarkan bendera kemenangan kerana berhasil menjerumuskan anak cucu Nabi Adam dalam neraka jahannan dengan dalih cinta yang begitu murah nilainya. Sebuah kisah lain tentang tragedi cinta dan kebodohan manusia yang amat memalukan berlaku di Dhaka. Menurut laporan berita salah satu akhbar ibu kota di negeri tersebut, seorang ayah dan anaknya mati saling tikam menikam hanya kerana merebut cinta seorang gadis. Tragedi bermula apabila si gadis tidak tahu bahawa dua lelaki yang sering menjadi teman asmaranya pada waktu yang berbeza adalah ayah dan anak. Sampailah pada suatu saat mereka terserempak pada waktu yang sama. Maka tragedi pun bermula. Kedua-duanya sangat marah sehingga membawa kepada pertengkaran dan akhirnya pergelutan dan perkelahian yang berakhir dengan si ayah mati akibat tertusuk di perutnya. Namun sebelum rebah ia berjaya menancapkan belati di jantung anaknya. Matilah keduanya. Dan pastilah neraka tempat kembalinya. Itulah tragedi cinta. Cinta memang tak kenal warna. Cinta tak kenal baik-buruk. Cinta tak kenal rupa dan pertalian darah. Memang begitulah adanya. Kerana yang mampu mengenal warna dan baik-buruk adalah pelaku-pelaku cinta yang menggunakan akal fikirannya. Sebaliknya cinta juga mampu melahirkan peribadi-peribadi yang mengagumkan. Peribadi yang tak takut kehilangan suatu apa pun walau ia amat cinta pada sesuatu. Namun kerana cinta yang hadir dipenuhi dengan nuansa keimanan, maka mereka rela mengorbankan apa saja yang mereka amat cintai demi memperolehi keredhaan Dzat Pemberi cinta. Jiwa mereka tidak gundah gulana kerana kehilangan cinta duniawi kerana Allah sebagai Dzat pemberi ketenteraman Peribadi-peribadi taat ini amat menyedari bahawa cinta hanyalah sebagai sarana mencapai tujuan. Mereka yakin kenikmatan cinta tak ada ertinya tanpa ada restu Allah sebagai Pemberi cinta. Maka yang mereka cari adalah redha dan cinta Allah, bukan cinta yang bersifat sementara. Kisah Abdullah putera Abu Bakar RA menjadi contoh kematangan pemuda yang mengenal erti cinta. Bayangkan!! Dia memiliki isteri yang amat cantik, berakhlak mulia, berkedudukan tinggi dan berharta. Namun apabila ayahandanya memerintahkan untuk menceraikan isterinya, dengan alasan isterinya telah melalaikan Abdullah dalam menunaikan hak Allah seterusnya akan melengahkan Abdullah berjihad di jalan Allah. Maka apa reaksi Abdullah? Tidak!! Abdullah tidak marah langsung pada ayahnya. Atau berusaha mengambil pedang dan ingin memenggal kepala si ayah yang berusaha memisahkan jalinan cinta yang memang sudah sah itu. Sekali lagi tidak!! Pemuda yang bernama Abdullah melihat perintah itu dengan kacamata cinta yang diberikan Allah. Ia rela menceraikan isteri yang dicintainya demi mempererat hubungan cinta dengan Allah. Subhanallah… Masih adakah pemuda-pemuda seperti peribadi Abdullah di zaman globalisasi kini? Begitulah cinta. Ia mampu melambungkan manusia pada derajat kemuliaan yang tak terhingga. Manakala frekuensi atau gelombang cintanya juga sudah selari dengan frekuensi atau gelombang cinta yang Allah kehendaki. Semuanya akan senada seirama. Tak ada dengung sumbang, tak ada nada ternoda. Demikian indah dan asli irama cinta sejati