Monday, October 27, 2008

ISU PENGHAYATAN ISLAM : RAHSIA JARI-JEMARI MANUSIA


Jari-jemari manusia menyimpan seribu satu rahsia pemiliknya. Antara misteri jari ialah penentu kepada kesihatan manusia. Menurut ajaran Islam seseorang perempuan yang ingin dikahwini juga adalah diseru agar dilihat dan diperhatikan kepada jari. Melaluinya kesihatan seluruh tubuh badan dapat dipastikan oleh pihak lelaki. Sebagai bukti kekuasaan Allah yang telah menjadikan jari ialah bagaimana penghidap kencing manis juga adalah dinasihatkan oleh pakar kesihatan agar membuat pemeriksaan sendiri terutama pada jari-jemari dan juga jari kaki yang sering kebas untuk mengesan tanda luka atau jangkitan. Ini kerana deria rasa sakit penghidap kencing manis akan berkurangan. Rawatan awal ini dapat mengelak jangkitan merebak dengan lebih dahsyat.

Selain itu perokok tegar juga dapat dikesan melalui tanda-tanda tindak balas bahan kimia dalam rokok yang terdapat di jari-jemari. Buktinya setiap kali perokok menyedut, dia akan menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh perokok. Antara kesan serius ini ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari-jemari perokok akan menjadi kuning.

Manakala dalam masyarakat Cina lebih gemar menilik dan membelek tangan serta kulit timbul di jari-jemari untuk menilik masa depan seseorang. Pemerhatian yang mendalam dengan mengambil kira susur galur urat di jari-jemari akan menceritakan banyak rahsia seperti kebahagiaan dan kecelakaan seseorang menurut pengamalan masyarakat Cina. Manakala dalam masyarakat Melayu yang sinonim dengan penghayatan Islam pula mengembalikan rahsia dan cap jari adalah milik Allah pencipta manusia. Namun, sekiranya kita perhatikan jaluran urat di tapak tangan kanan akan tertera nombor Arab 18 dan tapak tangan di bahagian kiri pula akan tercatat nombor 81. Jika seorang hamba Allah berdoa, maka kedua-dua tapak tangan ini akan dicantumkan dan cantuman ini akan menjadikan angka 99. Nombor 99 ini boleh diertikan dengan 99 nama Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Mulia.

Hakikatnya jari dan cap jari merupakan tanda di antara tanda kekuasaan Allah. Kondisi dan struktur jaringan halus urat timbul yang kompleks ini telah menyebabkan proses sains dan teknologi makin berkembang pesat untuk mengkaji serta menyelidik demi menambah baik kesenangan dan keselesaan hidup manusia pada masa mendatang. Walaupun situasi jenayah makin bertukar dan berkembang pesat selari dengan kepesatan teknologi, namun adalah sesuatu yang mustahil di alam ini bagi menghilangkan dan melenyapkan identiti diri kerana setiap penciptaan manusia ada hikmah yang tersirat dan tersimpul di sebalik kejadiannya.




No comments: