Sunday, April 5, 2009

Bait Muslim: Alternatif atau Kesempatan?

Sebenarnya, secara jujur saya katakan bahawa saya perlu berasa malu untuk membicarakan soal Bait Muslim yang sedang rancak digerakkan dikampus-kampus sejak dahulu kala sehingga saat ini. Faktornya adalah kerana:


a) Saya pernah berada dikolej yang gerakan dakwah kampusnya tidak mewujudkan Unit ‘rumahtangga’ ini. Memang kondisinya tidak memerlukan lagi berikutan mahasiswa disitu bukan terus menghabiskan pengajian disitu, tetapi akan menyambung lagi ditempat lain. Mewujudkannya di situ hanya membuka ruang luas perhubungan dalam tempoh terlalu lama dalam keadaan tidak mengetahui bilakah pengajian akan selesai. Bagi teman-teman di kampus-kampus besar yang pengajian bisa dihabiskan disitu, saya tidak menolak keperluan mewujudkannya. Kolej yang saya maksudkan adalah KIAS, Kelantan, tempat saya pernah bertapak disitu sebelum ini.


b) Saya hanya mengetahui info-info tentang pelaksanaan Bait Muslim dikampus-kampus ini dengan sangat terbatas daripada teman-teman dikampus-kampus besar di Malaysia serta Azhari dan Azhariah di Mesir.


Maka, jika saya menulis, berkomentar, memberi pandangan serta cadangan atau teguran-teguran ini, sudah tentu dengan maklumat yang tidaklah selengkap mungkin. Namun, atas nama perkongsian pandangan disertai sedikit ilmu yang ada, saya cuba memberanikan diri terus berkarya. InsyaAllah.


Sekilas pandang…


Artikel sebelum ini, saya bicarakan sedikit mengenai reality yang berlaku kepada para aktivis khasnya dan semua anak muda amnya dalam gelombang kehangatan percintaan. Isinya lebih 80% saya ‘naqal’kan hasil karya Salim A.Fillah dalam bukunya itu yang dibahagikan kepada 3 bab besar. Hebat penulisannya, sejak Okt 2003 sehingga Nov 2007, bukunya telah diulang cetak sebanyak 12 kali. Subhanallah…saran saya, bacalah buku ini. Opss..belilah dulu ya..tak tahulah sampai ke Malaysia atau tidak.


Afwan kathira, orang bercinta diatas jalan yang tidak lurus hanya akan menghasilkan individu yang tidak sihat, nampak tenang diwajah tetapi berserabut dikepala. Tenang? Jangan mimpi tenang !


Bayangkan setiap kali bangun tidur, yang pertama dicapai adalah handphone. Harapannya mudah-mudahan adalah mesej-mesej yang masuk. Terpulanglah samada tazkirah, kata-kata hikmah, semangat-semangat dan paling kurang hadith kelebihan bangun qiamullail atau ucapan ‘selamat pagi-dah bangun ke belum?”…….Ini bagi pasangan yang ‘soleh dan thiqah’ sikit. Jika tiada mesej dari satu pihak pertama, maka pihak kedua akan berusaha memerah juga otak untuk menghantar juga apa-apa SMS. Paling enak, jika SMS ada respon semula..


Tapi, kalau sudah jadi begini…


‘Salam, selamat pagi.dah bangun belum?”..”tak masuk kuliah pagi nih?”..”dah makan tengah hari ke belum?”..tengok tak cerita kat TV tadi?”.. “ takde assignment ke hari ni?”..” makan malam belum?”..lauk apa?”..” dah lewat ni,tak tido lagi ke?”…


Bayangkan jika sehari 8 jenis SMS ini dihantar dan diterima. Paling enak, jika balasan SMS dalam bentuk ‘lawak bodoh’ atau jenaka-jenaka manja..ehem2.


Agak-agak kalau setiap hari soalan ini yang ditanya bermula selepas Subuh sampai saat mahu tidur, hari berikutnya adakah masih soalan-soalan yang sama yang ‘memboringkan’ ini? Mungkin soalan-soalan ‘kampung’ macam ini hanya segar untuk 2-3 hari sahaja.


Akhirnya, syaitan mula mengetuk-ngetuk kepala. “try lah bagi SMS menggatal sikit.” Caranya, tanya bab kahwin dulu, bila masanya..tahun bila..Berikutnya, masukkan sikit tentang rumahtangga…sampai cerita malam pertama..soalan “dah makan belum” dah tiada nilai lagi untuk digunakan.


Baiklah, cukuplah setakat ini. Anda telah menemui makhluk-makhluk yang sudah terlajak sampai ke ‘marhalah’ ini. Istilah-istilah lucah mula menutup watak sebagai seorang da’ie. Na’uzubillah..


Habis modal, kering kontang, maka lebih enak jika ‘berkongsi’ cerita tentang kawan-kawan sendiri untuk diketahui oleh si dia. Wallahua’lam.


Bait Muslim: Alternatif atau Kesempatan ?


Saya sangat-sangat tidak mengetahui sejak bilakah Unit ini ditubuhkan, siapa dan dimana. Yang pasti sudah terlalu lama.


Ketika berkongsi pengalaman dengan kami beberapa orang pimpinan mahasiswa di KIAS satu waktu dahulu, Ust Ilias Ahmad yang sinonim dengan sapaan Pok Su Li sering menceritakan pengalaman beliau ketika memimpin PMRAM di Mesir.


Katanya “ Bait Muslim di Mesir yang digerakkan oleh PMRAM tujuannya sebagai pembantu kepada mereka yang sudah memerlukan sangat perkahwinan. Unit ini diketuai dan dipegang oleh mereka yang sudah berkahwin. Merekalah yang memberi kaunseling, nasihat, tunjuk ajar dan lain-lain keperluan untuk individu yang berhajat ini”.


“ Tetapi, agak pelik di Malaysia ini, kampus-kampus yang ada Bait Muslim sudah agak ‘jauh’ cara pelaksanaanya tidak sebagaimana yang digerakkan oleh PMRAM.” Kami tidak faham apa maksudnya. Beliau lantas menerangkan “ kalau disana, kita membantu menyelesaikan mana-mana individu yang sudah memerlukan sangat…tapi disini sudah jadi ruang untuk mencari pasangan sesama ahli jama’ah. Muncul istilah ‘cop’ lebih awal…” akhirnya semua ahli jama’ah masing-masing sudah ada pasangan masing-masing”. Begitulah lebih kurang komentar Ust dihadapan kami yang membuatkan kami berfikir.


Ini jauh dari matlamat asal Bait Muslim yang bertujuan membantu menyelesaikan masalah, bukan menjadi wasilah untuk mencari pasang-pasangan kepada ahli. Padahal saat itu, ahli bukanlah berkeperluan yang mendesak lagi.


Bait Muslim : Kelurusan Pelaksanaan.


Di Mesir, ianya adalah unit terbuka yang dikawal selia oleh PMRAM dan boleh dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa disana dengan beberapa peringkat seperti pengisian borang, makluman kepada Pengerusi Bait Muslim, diadakan pertemuan antara 2 individu tersebut dirumah ustaz-ustaz penasihat unit ini, dibincangkan, dan ditanya kepada kedua-dua pihak, tempoh sehinggalah tarikh perkahwinan serta nasihat-nasihat dan syarat-syarat agar hubungan tersebut dapat dipelihara dalam tempoh sebelum perkahwinan.


Itulah sedikit sebanyak yang saya ketahui dari teman-teman disana. Syukran ya teman-temanku..


Adapun pelaksanaanya di kampus-kampus di Malaysia mungkin hanya sebatas kepada anggota persatuan mahasiswa Islam atau gerakan dakwah kampus sahaja kerana gerakan dakwah tidak menguasai kampus sepenuhnya. Saya optimis bahawa kaedah pelaksanaannya hampir sama sahaja. Jika ada perbedaan pun, mungkin sedikit sahaja khas berkait perkara yang menjadi khilaf sahaja.


Pandangan sahaja:

1) Jika seorang lelaki mahukan kepada seorang wanita, sebaiknya gunakanlah mana-mana muslimat lain yang terpercaya ( mungkin daripada Unit ini) untuk memaklumkan hajat anda kepada wanita tersebut. Elakkan terus berhubung dengan wanita itu kerana dipertengahannya penuh mudarat yang tidak dijangka. Ini juga kerana wanita lebih mengetahui mengenai teman wanitanya. Maka biarkanlah mereka yang amanah ini menjadi wakil anda.


Peringatan ! jangan terlalu cepat dan mudah untuk meluahkan isi hati kepada mana-mana lelaki atau wanita jika anda masih mempunyai keraguan atas kesedian anda untuk berbicara soal perkahwinan, jika tidak perhubungan anda hanya akan menjadi alat bermesra-mesraan dalam tempoh yang panjang yang tidak diketahui kesudahannya.


2) Maklumkan segera kepada penasihat, ustaz/ustazah, atau mas’ul kepada unit ini tentang hasrat anda dan keputusan kedua-dua pihak. Jangan anda melaju berlayar dalam perhubungan sementara ini tanpa dimaklumkan kepada mereka yang bertanggungjawab.


3) Jika masing-masing telah mempersetujui, maka solusi terbaiknya, putuskan perhubungan sehinggalah sampai hampir kepada tarikh yang ditetapkan.


Peringatan: Maaf, saya tidak bersetuju jika ada yang membuka ruang kebenaran saling menyampaikan tazkirah, nasihat menasihati dan saling memberi semangat dan motivasi. Tiada perhatian khusus yang dihalalkan kepada anda melainkan dengan jalan pernikahan.


Saudara, istilah ‘taqdim’ bukan bererti anda yang mengconfirmkan dengan penuh confidence bahawa perhubungan anda itu benar-benar akan sampai kepada majlis perkahwinan. Letakkanlah segala-galanya kepada Allah dan berdoalah agar jika dia yang terbaik untuk anda, maka kekalkan dia untuk anda, jika tidak, serahkan kepada Allah. Permohonan kepada Allah mesti diteruskan.


4) Elakkan dalam tempoh yang terlalu lama dalam ikatan sementara ini. Nafsu sebenarnya memberontak dan menjerit-jerit agar anda berhubung juga dalam tempoh ini (rujuk artikel sebelum ini).


Catatan: Tempoh lama atau tidak tergantung kepada anda sebenarnya. Sejauhmana kita mampu bertahan dengan nafsu dan mudarat-mudarat ditengah ikatan sementara ini.


5) Jadikan ikatan sementara ini hanya sebagai simpanan rahsia anda dan individu-individu tertentu seperti mas’ul sahaja. Jangan jadikan ianya kebanggaan untuk dicerita-ceritakan kepada orang lain. Mungkin, Allah mentaqdirkan terputus ditengah-tengah ini, maka sakit bagi anda untuk menerimanya kerana sudah diwar-warkan berlebih-lebihan.


6) Jangan jadikan wanita atau lelaki pilihan anda ini sebagai bahan gurauan bersama teman-teman. Peliharalah maruahnya. Berhubunglah dengan mengharapkan redho Allah. Bukan percintaan monyet muda-mudi yang tidak menghayati agama. Seriuslah ! Matanglah ! Anda sedang membina kedewasaan.


7) Berdoalah agar anda dijauhkan dari maksiat, kekejian dan perhubungan haram dalam tempoh ini. Permulaan dengan mengenepikan redho Allah akan berakhir dengan penghinaan Allah. Pastikan dan usahakan mencari kebersihan dalam perhubungan ini.

8) Sibukkan diri anda dengan tugasan dakwah, pengajian seperti biasa dalam tempoh ini. Kelapangan waktu membuatkan anda masih sempat berkhayal tentangnya. Berhati-hatilah. Jangan sampai ibadah kerananya, pengajian kerananya.

9) Dalam membuat keputusan, banyakkanlah beristikharah dan memohon petunjuk dari Allah. Allah lebih mengetahui siapa yang terbaik untuk kita. Jangan ‘mendesak’ Allah menerima kehendak kita, bimbang Dia memberi dengan campakan, maka kita akan menggigit jari kelak.

Hayatilah-bualcara dgn ummu muhammad, isteri As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt Puan Rasha (Ummu Muhammad) isteri
kepada As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi telah dapat hadir di dalam
satu program di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini, Ahad
22.3.09.

Beliau sangat bersyukur kerana buat pertama kalinya dapat sampai ke
Malaysia. Setelah mendengar penyampaian oleh Puan Hashimah Salleh,
Tokoh Maulidur Rasul Negeri Selangor, 2008, beliau memberitahu hadirin
bahwa beliau seolah-olahnya mendengar penyampaian itu bukan dari orang
Malaysia bahkan terasa macam disampaikan oleh orang Palestin sendiri
kerana isinya benar-benar menyentuh hati dan itulah sebenarnya yang
diperjuangkan oleh orang-orang Palestin termasuk
suaminya As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi.

Beliau kemudiannya memberi penyampaian dan amanat kepada semua hadirin
dengan suara yang begitu bersemangat tanpa ada kelihatan tanda-tanda
kesedihan di atas pemergian suaminya lima tahun yang lepas. Ini sungguh
membuktikan keteguhan iman beliau dan kesabaran yang cukup tinggi yang
hanya mengharapkan redha Allah swt.

Sempena kedatangan beliau ke sini, marilah kita cuba meneliti liku-liku
kehidupan beliau bersama suami tercinta melalui wawancara yang diadakan
setelah kesyahidan suami beliau, As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi.

Kita semua sudah tahu akan syahidnya Dr Abdul Aziz Ar Rantisi pada 17
April 2004. Setiap kehebatan seorang suami pasti ada pendorong yang
tidak lain tidak bukan isterinya yang bernama Puan Rasha (Ummu
Muhammad). Mari kita sama-sama selami akan ketabahan hidup beliau
sebagai seorang isteri kepada pejuang yang hebat ini.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau
suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka
(yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) Sesungguhnya petunjuk
Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya
jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu
yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah
engkau akan perolehi dari Allah
(sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (Al-Baqarah : 120)

Kata-kata beliau (isteri as-Syahid) menggambarkan kesabaran yang luar
biasa dan pendirian yang mengkagumkan. Sinar suara yang tidak ternilai
serta tutur katanya yang lemah lembut. Apa yang lebih penting, sifat
tawadhu' yang terhimpun dalam percakapannya, perbualannya dan juga
tindak-balasnya. Kami katakan kepadanya :
Sesuailah ungkapan kepada puan ( Di sebalik setiap lelaki hebat pasti ada seorang wanita).

Kata beliau ? TIDAK! Demi Allah, jika ada di sana wanita yang menjadi
sebab kejayaan Dr. Rantisi dan menjadi sebab sampai matlamatnya, ianya
tidak lain dan tidak bukan adalah ibunya yang membimbing dan
mendidiknya, ibunyalah jua yang menanamkan kewibawaan dan rasa izzah.
Maka dengan kalimat inilah bermulanya wawancara dengan Puan Rasha (Ummu
Muhammad) isteri as-Syahid Dr. Abdul Aziz
ar-Rantisi.

1. Bagaimana titik perkenalan puan dengan as-Syahid?

Saya seorang gadis yang telah tamat pendidikan menengah dan ketika itu
saya bukanlah pendokong utama kepada gerakan Islam tetapi saya
menyokong ke arahnya, tidak seperti sahabat-sahabat yang sebaya dengan
saya yang menjadi pendokong utama kepada gerakan Islam.

Saya sangat berkeinginan untuk menyempurnakan pengajian di universiti
tetapi kedua ibu bapa saya membantah kerana niat saya adalah untuk ke
Mesir bagi meneruskan pengajian saya.

Semasa Abu Muhammad (Dr. Rantisi) masuk meminang saya, saya dapati
padanya terdapat sifat-sifat yang menjadi idaman gadis-gadis,
lebih-lebih lagi kerjayanya sebagai seorang doktor. Beliau tidak pernah
menyakiti atau melukai saya walaupun hanya dengan satu kalimah dan
beliau sentiasa menjaga kebenaran, oleh itu beliau menjadi amat
istimewa di kalangan masyarakat.

2. Apakah cabaran, mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh as-Syahid?

Saya telah bersedia dengan masalah penahanannya samada pada intifadah
pertama atau kedua, perkara ini pastilah amat sukar bagi saya pada
permulaannya tetapi apa yang membuatkan saya teguh dan cekal ialah
keimanan bahawa Allah s.w.t yang telah mentakdirkannya sebegitu.
Sesungguhnya gerakan ini adalah tanggungjawab kita samada beliau
bersama atau tidak.

Ketika percubaan membunuh beliau pada 10.6.2003, ketika itu saya sedang
bekerja, saya menjadi kaku dan segala kerja saya terhenti lalu saya
memohon untuk pulang ke rumah. Saya yakin adalah sukar untuk sampai ke
Hospital Shifa' yang dipenuhi dengan ramai orang dan saya telah
bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Harus kita ketahui sesungguhnya jalan yang dilalui oleh Abu Muhammad
(as-Syahid)sepanjan g kehidupan jihadnya selama lebih 30 tahun adalah
semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t.. Hanya dengan itu akan
tercapai kebahagiaan yang hakiki.

Jalan ini bukanlah jalan yang dihampar dengan permaidani merah. Ia
penuh dengan halangan dan pengorbanan tetapi matlamat mulia yang
diimpikan menjadikan manusia itu jauh daripada rasa rendah diri dan
hina dengan apa yang dibawa. Ini adalah sunnatullah dalam dakwah
semenjak Saidina Adam a.s. sehinggalah ke hari ini.

3. Bagaimanakah cara Dr. Rantisi dalam mendidik anak-anak?

Dalam kemuncak kesibukannya, walaupun dikritik dan ditekan oleh
pelbagai pihak termasuk media, sewaktu beliau di rumah, jika ada
sesuatu yang ingin diambil dan masuk ke bilik, apabila terlihat cucunya
atau menantunya ataupun salah seorang daripada anak-anaknya maka
cepat-cepat beliau tersenyum dan bertanya khabar akan keadaan mereka.

Beliau amat mengambil berat walaupun perkara yang kecil kepada setiap
orang yang bersamanya sepertimana telah saya jelaskan tadi bahawa
beliau sangat menjaga hubungan silaturahim walaupun hanya berhubung
melalui telefon. Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat
menyayangi kanak-kanak terutama cucunya yang seramai 14 orang.

Anak beliau Ahmad 21 tahun, yang terlibat dalam operasi pembunuhan
tersebut amat menyerupai ayahnya samada dari segi luaran mahupun
dalaman. Dia bercita-cita mengikut jejak langkah bapanya. Ahmad juga
seorang pemuda yang amat menjaga kesatuan bersama rakan-rakannya serta
sentiasa menekankan sifat tawadu' dan kepercayaan kepada diri sendiri.

4. Bagaimana penerimaan Dr. Rantisi tentang berita syahidnya Syeikh Ahmad Yasin?

Dr. Rantisi amat terkesan dengan kesyahidan pemimpin yang juga
sahabatnya. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas ketka majlis
memperingati as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Saya lihat beliau menangis
ketika mana disebut nama sahabat beliau itu. Beliau merasakan amat
berat unutk memikul tanggungjawab meneruskan
perjuangan yang amat penting dan berat ini. Akhirnya, beliau bersetuju meneruskan hadaf perjuangan beliau dan para sahabatnya.

5. Adakah Dr. Rantisi terkesan dengan operasi pembunuhan Syeikh Ahmad Yasin?

Saya teringat kata-katanya pada majlis peringatan tersebut, dia tidak
menyalahkan Sharon atas tindakan biadap tersebut tetapi sebagai seorang
insan seperti Syeikh Ahmad Yasin, jika beliau tidak dibunuh beliau akan
tetap mati.

Sesiapa yang tidak mati dengan mata pedang, pasti akan mati juga dengan
sebab lain, sebab kematian itu berbagai-bagai dan mati itu hanyalah
satu. Saya tidak akan lupa kalimah suami saya dan ia amat mempengaruhi
diri saya katanya, Wahai Syeikh! Kami pasti akan menyusuli setelah
pemergianmu? .

6. Apakah wasiat Dr. Rantisi kepada puan sekeluarga sebelum pemergiannya?

Sepanjang kehidupan beliau iaitu berjuang dan berjihad lebih dari 30
tahun, beliau adalah seorang mujahid, penyuluh ke jalan Allah samada
dari segi muamalaat, akhlak, jihad, ibadat, kemasyarakatan, politik dan
perhubungan adalah merupakan satu wasiat yang paling besar buat kami...
kami akan berpegang dengan didikan beliau, Insya-Allah.

7. Bagaimana penerimaan puan terhadap berita kesyahidan Dr Rantisi?

Perasaan yang sama sepertimana isteri orang lain kehilangan suami..
Walaupun saya telah kehilangan suami tetapi saya tidak kehilangan iman
dan pendirian saya terhadap Allah s.w..t, maka ini adalah suatu
kelebihan pemberian Allah s.w.t.

Setelah beliau keluar dari rumah, beberapa minit kemudian saya
terdengar beberapa letupan (tembakan) ketika itu, saya yakin bahawa
letupan itu ditujukan kepada suami saya. Beberapa ketika kemudian saya
bertambah yakin apabila mendengar radio, Suara Aqsa, pada waktu itu
berkumandang azan Isya' dan kemudiannya mengumumkan tembakan yang
berlaku ke atas kereta beliau di mana beliau sendiri serta pengiringnya
telah syahid. Lidah saya ketika itu mengulang-ulang kalimah
Alhamdulillah kemudian saya terus berwudu' dan mendirikan solat Isya'.
Saya berdoa kepada Allah agar menetapkan pendirian saya
dan anak-anak dan Allah s.w.t sendiri telah memberi jaminan akan memperkenankan doa hambanya apabila berdoa..

8. Adakah Dr. Rantisi sendiri merasakan bahawa dirinya telah dekat dengan syahadah?

Tidak ada apa-apa tanda ke arah itu dan persediaan beliau adalah setiap
saat, masa, jam dan seluruh hidupnya adalah menjadikan Rasulullah s.a.w
sebagai contoh ikutan terbaik. Setiap pekerjaan yang dilakukannya
dibina atas asas taqwa kepada Allah, ikhlas serta menggunakan masa
dengan sebaik-baiknya. Beliau mengamalkan Islam secara sempurna dan
memberikan setiap yang berhak akan haknya?

9. Setiap para syuhada' akan ada tanda-tanda kemuliaannya. Maka apakah karamah Dr. Rantisi?

Darah as-Syahid terus mengalir keluar walaupun setelah 20 jam selepas
beliau syahid, haruman kasturi menyelimuti seluruh jasad beliau. Di
samping itu, kami sekeluarga merasakan bahawa Allah telah memberikan
keteguhan hati dan ketabahan kepada kami selepas beliau syahid.
Akhirnya, senyuman yang tergambar jelas di bibirnya bagi saya itu
adalah karamah as-Syahid.

10. Bagaimana kehidupan Dr. Rantisi sebagai seorang bapa, suami, datuk dan pejuang?

As-Syahid merupakan seorang berperibadi Islam yang unggul sesuai dengan
sepotong ayat yang bermaksud : "Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu." (QS Az-Zariyat : 56).

Beliau mencontohi Rasulullah s.a.w samada dari segi akhlak, hubungan
masyarakat, kekeluargaan dan perjuangannya di mana kesemua ini pada
as-Syahid adalah satu ibadah, samada mentaati ibunya, pergaulan bersama
isterinya, memuliakan anak-anak, gurauan bersama cucu-cucunya dan
bersikap tegas terhadap kuffar serta musuh Islam. Manakala di
pejabatnya beliau bersifat tawadu' dengan sesiapa yang
bermuamalah dengannya.

11. Sikap atau sifat as-Syahid yang tidak akan puan lupakan?

Keseluruhan kehidupan suami saya adalah sikap yang tidak dapat
dilupakan selamanya tetapi di sana ada satu situasi yang saya ingin
kongsi bersama.

Ketika saya sedang mengemas rumah dengan tidak sengaja televisyen yang
saya angkat terjatuh dan menyebabkan ia tidak berfungsi lagi. Saya rasa
amat bersalah di atas peristiwa tersebut kerana selepas keluarnya Dr.
Rantisi dari tahanan memang sukar untuk kami membeli barang-barang
rumah yang baru. Tanpa saya sedari, beliau datang kepada saya dan
bertanya sebab kerisauan hati saya. Apabila saya menceritakan segalanya
lantas beliau berkata, tiap-tiap sesuatu ada
ajalnya yang telah Allah tetapkan, apa yang dikehendakiNya maka pasti akan berlaku, kata beliau dalam keadaan tersenyum.

12. Bagaimanakah saat-saat terakhir Dr. Rantisi bersama keluarga,
apakah kalimah terakhir as-Syahid dan bagaimana keadaan diri beliau
pada hari syahidnya beliau?

Saat akhir hidup beliau, tidak nampak perubahan yang ketara ketika
bersama kami. Beliau sentiasa memberikan setiap yang berhak itu akan
haknya walaupun beliau dalam keadaan sibuk...tentang hal-hal keluarga
dan perkahwinan anak kami, iaitu Ahmad yang turut terkorban bersama
ayahnya, mengenai persiapan perkahwinan, tempat tinggal dan sebagainya
beliau kelihatan sangat gembira. Kalimah terakhir ketika beliau bersama
kami ialah.."Tuhanku, masukkan aku ke syurga mu.Inilah
kemuncak impianku.."

13. Apakah cita-cita Dr. Rantisi?

Cita-cita beliau ialah dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan syahid dan tidak ada yang lebih dari itu.

14. Bagaimana kehidupan as-Syahid ketika mana mengiringi kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin?

Saya memang tidak akan menyangka bahawa hidup beliau boleh berubah
kerana sesungguhnya beliau sememangnya tahu hadaf hidupnya dan jalan
terakhir yang akan di laluinya iaitu jalan Istisyhad (mempersiap diri
untuk syahid) dan Jihad.

15. Apa yang ingin puan katakan kepada muslimat Palestin yang sedang
menunggu giliran syahidnya suami, bapa dan anak-anak mereka?

Saudari-saudariku yang dikasihi: Sesungguhnya peranan wanita bukan
sekadar yang kamu sumbangkan sekarang sahaja, bahkan peranan kita
adalah bersama para lelaki dan Rasulullah s.a.w yang mulia telah
bersabda :

"Setiap kamu adalah ketua, dan setiap ketua pasti akan
dipertanggungjawabk an ke atas orang bawahannya.. dan wanita itu adalah
dipertanggungjawabk an di rumah suaminya dan ia akan dipersoalkan akan
apa yang di bawahnya".

Sesungguhnya telah terakam contoh terbaik wahai saudari-saudariku yang
dikasihi di lembaran-lembaran terdahulu, maka peranan kamu setelah
syahidnya suami ataupun anakmu, ialah menyempurnakan peranan kamu dalam
kehidupan mereka. Semoga Allah menetapkan pendirian dan menjaga serta
menghimpunkan kamu bersama siapa yang kamu sayangi di bawah payung
rahmatNya..

16. Kalimah taujihaat untuk pemerintah negara-negara Arab, pemuda-pemudi Palestin khasnya dan pemuda-pemudi Arab umumnya?

"Dan peliharalah dirimu (dari azab yang terjadi) pada hari yang pada
waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing
diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah
dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya." (QS al-Baqarah
: 281)

Untuk muda-mudi ingin saya katakan kepada mereka: Pulanglah kepada
panduan asal kamu. Kembalilah semula kepada rasa izzah dan kemuliaan
kamu. Kembalilah kepada Islam, berpegang teguhlah dengan kitab Allah
dan jadikanlah ia sebagai perlembagaan hidup.

Ya Allah, terimalah amal-amal mereka yang telah Syahid di jalanMu.
Sesungguhnya kami juga akan menyusul mereka.. Kurniakanlah kematian yang
paling baik kepada kami iaitu Syahid di jalanMu.

Wednesday, March 25, 2009

TELAH KUPILIH JALANMU

Telah kupilih jalanMu
Jalan yang mendekatkan aku padaMu
Jalan orang-orang yang beriman dan beramal soleh
Dan aku yakin sebenar-benarnya
Cintaku padaMu takkan pernah dikecewakan

Namun Tuhan,
Ampuni aku,
Fitrah hati ini terlalu berat untuk kubuang
Terlalu pahit untuk ditelan
Tapi terus-terusan aku gagahkan
Demi menggapai cintaMu Yang Esa

Bantulah aku Tuhan
Jika rinduku ini imaginasi syaitan
Dan kuminta ia dilenyapkan
Andai kasihku berlandaskan nafsu
Kumohon matikanlah rasa cinta yang belum tentu jadi milikku

Tolonglah aku Tuhan
Untuk mengisi bejana cintaku untukMu
Agar aku takkan pernah dahagakan
Cinta dari insan yang tak halal bagiku
Teguhkan kasihku untukMu
Agar aku tak kecundang dijajah cinta yang dusta
Yang menjadi hijab di antara kita
Tetapkan langkahku
di jalan ini

Gagahkan aku Tuhan
Untuk menenggelamkan kapal cinta manusia
Walau ia se'gah' bahtera 'Titanic'
Tetapku pinta ia karam
Jika belayar ia di lautan dosa

Dan kumohon Tuhan
Damaikanlah ombak di hati
Walaupun ribut datang mengundang
Kasihku diikat di dasar Rabbi
Kerana ianya lumrah ujian..
Dan akan kuterus tekadkan janji
Kerana telah kupilih jalanMu

UKHWAH FILLAH MENUJU JANNAH

Ukhwah
www.iluvislam.com
rose_muslimah89
Editor:lailatulema

'Maafkan saya kak, saya dah tak mampu nak join kawan-kawan lain untuk ikut program lagi. Saya nak…’ Aduni mengeluh panjang dan berat, sambil menahan gejolak hatinya yang kencang. Berat sekali untuk meneruskan kata-kata yang hendak dia ucapkan kepada murabbinya. Namun, dia benar-benar merasakan dia tidak mampu untuk bersama-sama dengan jemaah dakwah yang ia sertai selama ini.

Fikiran Aduni menerawang jauh mengenangkan detik-detik awal dia memasuki dunia dakwah. Aduni akui bahawa tarbiyahnya yang selama ini dia ikuti memberi impak yang sangat besar kepada pembentukan peribadinya. Dia mampu mengenakan busana muslimah secara sempurna kerana tarbiyahnya dan dia juga temukan keindahan ukhuwah dengan tarbiyah, bahkan dia mampu ‘bekerja’ sekarang kerana tarbiyah. Tapi saat ini, keindahan ukhwah yang dulu pernah dia rasakan terasa begitu hambar. Kemesraan dan kecintaan yang dibina bersama teman-teman se halaqah sudah mula memudar. Aduni merasakan teman-temannya terlalu cepat berjalan dan dia tertinggal jauh. Mereka begitu sibuk dengan amanah dakwah masing-masing, sementara pada waktu yang sama dia berasa tenggelam, malas dan letih dengan semua itu. Dia pun tidak tahu mengapa.

Dia ingin teman-temannya mengerti kelemahan jiwanya dan membantunya keluar daripada jeratan-jeratan maksiat yang menjadi asbab kepada kemunduran semangatnya. Namun ketika dia mahu meluahkannya kepada mereka, dia lantas berasa sangat malu. Teman-temannya asyik membincangkan masalah dakwah bersama murabbinya membuatkan Aduni sukar untuk mengucapkannya. ‘Ala.. masalah kecik je, diorang mesti rasa buang masa je untuk cerita’, begitu fikirnya. Akhirnya dia tenggelam keseorangan menelan permasalahannya sehinggalah dia mencari teman-teman di luar komuniti dakwahnya untuk sekadar melabuhkan masalah yang terkubu di dalam hati.

Fenomena di atas bukanlah sesuatu yang mustahil dalam putaran dakwah. Jatuh bangunnya aktivis dakwah dalam meniti jalan ini, fenomena futurnya iman serta keguguran jundi-jundi dakwah adalah biasa dalam perjuangan ini. Itu adalah sunnatullah. ‘Imanu Yazid way an quz- Iman itu naik dan turun’. Akan tetapi yang patut disesalkan adalah ketika jatuhnya aktivis dakwah ini, ia bukan kerana mereka tidak mahu bangun dan kembali bersama dakwah, tetapi kerana orang-orang yang disekelilingnya tidak mahu membantunya bangkit semula bahkan tidak peduli sama sekali kalau saudaranya sedang terjatuh. Inilah yang patut direnungi bersama. Kisah Aduni adalah satu contoh.

Kadang-kadang seorang murabbi itu merasakan bahawa anak-anak buahnya sangat bagus sekali, mendengar pengisian dengan teliti dan bersemangat, mencatat nota dengan rapi, kemudian pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Tiada sebarang masalah. Padahal di sebalik penampilan yang bagus di hadapan murabbinya, ada jurang kemaksiatan yang dilakukan tanpa pengetahunnya. Anak buah seterusnya mahu mengundur diri dan merasa diri tidak setanding dengan teman-teman halaqahnya.

Kuncinya di sini adalah dengan berterus-terang. Mutu sesebuah halaqah itu sangat bergantung kuat pada kualiti dialog yang dibina di dalam halaqah itu. Tidak mungkin dialog-dialog itu mampu berlaku dengan baiknya jika tidak adanya keterbukaan pada jiwa individu yang ada didalam halaqah tersebut. Keterbukaan di sini adalah berterus terang dalam menyampaikan segala permasalahan walau sekecil manapun masalah itu. Jangan memandang enteng sesuatu masalah itu jika itu memang memerlukan penyelesaian. Bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad’unya telah menjadi kader-kader yang tidak mungkin jatuh tatkala ketika tersadung batu ujian.

Lihat sahaja kisah keterbukaan Kaab bin Malik semasa perang Tabuk kepada Rasulullah saw. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas! Namun dia bersimpuh di hadapan Rasulullah saw sambil berkata, "Wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir Allahswt akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu…” Apa yang ditonjolkan Kaab sudah cukup menjadi renungan kita semua akan erti keterbukaan,berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya.Ketika seorang mad’u berterus terang akan kesalahannya, maka akan legalah hati walaupun mungkin ianya memalukan.

Di saat itulah motivasi rohani daripada murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk membantu dan mengembalikannya semula kepada langkah yang sudah ditinggalkan. Eratkan kembali ukhwah. Satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seorang individu dalam tarbiyah adalah ukhwah. Kadang-kadang kerana kesibukan yang mencengkam, hak-hak ukhwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita menjadi terabai. Maka wajarlah apabila kita rasakan sewaktu berprogram atau pertemuan rutin seperti menjadi kering tanpa makna. Kosong!

Perkara sebegini haruslah diatasi.Sesibuk manapun kita dengan aktiviti yang dilakukan, hak-hak ukhwah harus tetap kita berikan. Berwajah ceria ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya,masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh merasakan sifat empati terhadap permasalahan saudara kita. Saling nasihat menasihati baik diminta ataupun tidak, saling bertukar-tukar hadiah dan saling mendoakan doa rabithah.

Andai kesemua hak-hak ukhwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk gugurnya sahabat-sahabat kita di atas jalan dakwah ini, insyaAllah. Akhirnya saudaraku, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan ilmu dan bahan, tetapi adalah proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Dan lebih dari itu, langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itulah yang menjadikan kita mengerti akan hakikat hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya bermula dari tarbiyah.

SAKI BAKI PENGAJIAN

Penulis sudah berada di tahun akhir pengajian. Beberapa bulan sahaja lagi untuk terus berada di UKM ini. Rasanya ilmu masih lekang di dada. Tidak cukup ilmu lagi walaupun dah nak grad. Ya Allah, cepat sungguh masa berlalu. Penulis teringat akan bait-bait sajak arwah ayah. Betapa arwah ayah sangat mendambakan kejayaan anak-anaknya sekaligus merubah kehidupan keluarga kami. Ayah, ku merinduimu..


PESANAN AYAH

Dengan saki baki masa yang ada
Percayalah kau masih mampu
Membuat persiapan rapi dan menyeluruh
Maksimakan usahamu
Jangan dibiarkan masa berlalu begitu sahaja

Bayangkan kecemerlangan, kegemilangan
Tentu hilang kepenatan dan kejemuan
Tentu timbul semangat keyakinan diri
Buat pengubah prestasi

Itulah sahaja nanti
Kegembiraan untuk kita sekeluarga
Berkat iringan doa semua

Ayah meninggalkan kami sekeluarga sewaktu penulis baru berada di tahun satu pengajian, di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Tuesday, March 24, 2009


Stand Up
Munsyid : Muadz Dzulkifli Al-Masaar

"قم يا فلان فأذن أنه لا يدخل الجنة الا مؤمن"
"ان الله يؤيد الدين برجل فاجر
"
Oh you stand up! say it together None enters paradise save a true believer Allah shall support this religion With a sinful man with a wicked man Some people see barriers In classes and in colours Some people are wiser But some believe they are hollier Feel the heart of everyone See through our differences You and I have the power Think good of one another So stand up and take our places And do what we do better Spend sometime to know ourselves Help the other

Monday, March 23, 2009

Banyaknya Dugaan: Kita Bertanya-Al- Quran Menjawab


Hidup ini penuh dgn ujian. Memang perit dan pedih utk menghadapinya. Tapi kita kena faham konsep “ujian” di dalam perspektif Islam. Kerana sekiranya kita tidak faham dengan jelas, kita akan cepat putus asa, kecewa dan lebih membahayakan apabila kita buruk sangka terhadap Allah SWT. Jadi, bagaimana ingin memujuk hati yg sedang berduka lara itu???

Pujuklah dengan berzikir dan mengingati Allah….dan bacalah Al Quran…
sesungguhnya, byklah sudah isi2 yg tersingkap di dalamnya……segala jawapan ada di dalamnya….

KENAPA AKU DIUJI?

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta.”-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

Boleh jadi mau membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.- Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. -Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST?

Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal
kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg berima.- Surah
Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala
kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan
kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan
perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah
supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). - Surah Al-Imran ayat 200

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah
berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk- Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?

Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu’min, diri, harta mereka dengan
memberikan syurga utk mereka…..-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku
bertawakkal. -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!

……dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada
berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.- Surah Yusuf ayat 12

SALAM THABAT FI SABILILLAH!! !